JAKARTA: Tangisan pilu si ibu mengiringi pengebumian empat kanak-kanak yang maut dibunuh bapa kandung mereka dalam insiden mengejutkan di sebuah rumah sewa di sini, minggu lalu.
Pengebumian jenazah empat beradik yang berumur antara satu hingga enam tahun itu dijalankan di Perigi Sawangan, Depok di Jawa Barat.
Ibu kandung kanak-kanak berkenaan, Devnisa Putri dilihat tidak henti-henti menangis sambil memeluk permainan anak patung katak berwarna hijau milik seorang daripada anaknya yang meninggal dunia.
“Pergilah sayang, mama ikhlaskan kamu, nak,” jerit Devnisa sambil ditenangkan beberapa ahli keluarganya yang lain.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Selatan, Bintoro mendedahkan pihaknya bekerjasama dengan beberapa badan lain bagi membongkar motif pembunuhan kejam itu.
“Kami bekerjasama dengan pakar psikiatri serta makmal forensik bagi mendedahkan motif sebenar pembunuhan dan bentuk hukuman yang bakal dikenakan dalam kes ini,” jelasnya.
Menurut Bintoro, suspek mengaku melakukan pembunuhan secara bergilir-gilir dalam keadaan mangsa masih sedar.
“Bermula dengan menekup muka dan hidung anak yang kecil berumur satu tahun sehingga tidak bernyawa kemudian beralih melakukan perbuatan sama kepada mangsa berusia tiga tahun seterusnya yang berumur empat tahun dan terakhir sekali anak sulung berusia enam tahun.
“Kami juga sudah mendapatkan bukti berupa telefon bimbit dan komputer riba yang digunakan suspek untuk merakam aksi keji itu termasuk ketika dia mencederakan isterinya beberapa hari sebelum kejadian,” katanya.
Mayat empat beradik itu ditemukan di sebuah bilik sewa di Gang Haji Roman, di Jakarta Selatan, Rabu lalu selepas pihak polis menerima laporan penduduk mengenai bau busuk yang kuat dari kediaman berkenaan.
Suspek, Panca Darmansyah, 40, ditemui dalam keadaan bogel di tandas dengan kecederaan dilakukan sendiri bersama sebilah pisau di tangannya.
Penyiasat turut menemui nota yang berbunyi ‘puas Bunda (puas hati ibu), tx untuk semua’.
Media tempatan melaporkan, suspek menyerang isterinya pada 2 Disember lalu hingga mangsa terpaksa dibawa ke hospital dan meninggalkan anak-anaknya bersendirian dengan bapa mereka.-AGENSI










