JAKARTA: Kira-kira 170 pelarian Rohingya tiba di Indonesia hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kedatangan mereka melebihi 1,000 orang dalam tempoh beberapa minggu lalu.
Keadaan laut tenang antara November dan April setiap tahun membuatkan anggota minoriti yang teraniaya di Myanmar itu menaiki bot kayu ke negara jiran seperti Thailand, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Ketua Komuniti Nelayan di Aceh, Miftah Cut de berkata, kumpulan terbaharu Rohingya mendarat di pantai Le Meulee di pulau Sabang sebelum waktu subuh pagi tadi.
“Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak yang berada dalam keadaan lemah,” katanya.
Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951 mengenai Pelarian tetapi mempunyai sejarah menerima pelarian apabila mereka tiba di pantai negara itu.
Selama bertahun-tahun, Rohingya cuba meninggalkan Myanmar apabila mereka secara umum dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, dinafikan kewarganegaraan dan didera.
Hampir sejuta Rohingya tinggal di kem pelarian di daerah sempadan Bangladesh, Cox’s Bazar, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras didalangi Ketua tentera di Myanmar pada 2017. – REUTERS