Israel, Lubnan adakan rundingan langsung pertama sejak 1993

Israel, Lubnan adakan rundingan langsung pertama sejak 1993

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lubnan dan Israel mengadakan rundingan diplomatik pertama mereka dalam tempoh lebih tiga dekad, satu pertemuan jarang berlaku yang bertujuan menamatkan pertempuran antara Israel dan kumpulan Hizbollah disokong Iran.

Kedua-dua pihak bertemu di Washington dan berbincang selama lebih dua jam dalam satu pertemuan yang dihoskan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarika (AS), Marco Rubio.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak hadir dengan keutamaan yang berbeza. Israel menolak untuk membincangkan gencatan senjata dengan Lubnan dan sebaliknya menekan Beirut supaya melucutkan senjata Hizbollah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Lubnan pula menyeru agar konflik ditamatkan, yang telah mengorbankan hampir 2,124 penduduk serta menyebabkan lebih 1.1 juta orang kehilangan tempat tinggal di wilayahnya.

Walaupun begitu, kedua-dua pihak memberikan maklum balas positif selepas perbincangan tersebut.

Duta Lubnan ke AS, Nada Hamadeh Moawad menyifatkan rundingan itu sebagai ‘membina’. Namun beliau menegaskan menggesa gencatan senjata, membolehkan pelarian kembali ke rumah masing-masing serta langkah-langkah untuk meredakan krisis kemanusiaan di negaranya.

Duta Israel, Yechiel Leiter pula menyifatkan perbincangan itu sebagai ‘pertukaran yang sangat baik’. Beliau turut menekankan persamaan pandangan, termasuk usaha untuk menyingkirkan Hizbollah dari Lubnan.

“Kerajaan Lubnan telah menjelaskan bahawa mereka tidak lagi mahu dikuasai oleh Hizbollah. Iran telah dilemahkan. Hizbollah juga semakin lemah. Ini adalah satu peluang,” kata Leiter.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata dalam satu kenyataan selepas rundingan, kedua-dua Israel dan Lubnan telah bersetuju untuk berusaha mengurangkan pengaruh Hizbollah.

Beliau menambah, pihak Lubnan turut menggesa pelaksanaan gencatan senjata serta langkah-langkah konkrit bagi menangani dan meredakan krisis kemanusiaan yang serius di negara itu.

Sementara itu, AS menyatakan sokongannya terhadap hak Israel untuk ‘mempertahankan diri’ daripada serangan Hizbollah, katanya.

Rubio pula mengakui cabaran yang bakal dihadapi, dengan menyatakan kepada wartawan kemajuan akan mengambil masa.

“Kami memahami kami berdepan dengan sejarah berdekad lamanya serta kerumitan yang tinggi,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata, beliau berharap rundingan itu akan menandakan permulaan kepada berakhirnya penderitaan rakyat Lubnan secara keseluruhan, khususnya di bahagian selatan.

Beliau turut menyatakan satu-satunya penyelesaian kepada konflik itu ialah apabila angkatan tentera Lubnan menjadi ‘pihak tunggal’ yang bertanggungjawab terhadap keselamatan kawasan tersebut.

Namun, keupayaan kerajaan Lubnan untuk berdepan dengan Hizbollah adalah terhad.

Menjelang rundingan itu, seorang anggota kanan organisasi tersebut memberitahu agensi berita AP mereka tidak akan terikat dengan sebarang perjanjian yang dicapai di Washington.

“Kami tidak terikat dengan apa yang mereka persetujui,” kata anggota Majlis Politik Hizbollah, Wafiq Safa.

Hizbollah menentang rundingan langsung tersebut dan tidak diwakili dalam pertemuan itu. Sebaliknya, laporan media menunjukkan kumpulan itu meningkatkan serangan ke utara Israel ketika rundingan berlangsung.

Perbincangan ini berlaku pada saat sensitif dalam konflik lebih luas antara AS dan Israel dengan Iran, apabila Teheran memberi amaran serangan berterusan di Lubnan boleh menjejaskan gencatan senjata yang baru berusia seminggu itu.

Perang bermula pada 28 Februari dengan serangan AS dan Israel ke atas Iran. Konflik itu mencetuskan gelombang baharu serangan Hizbollah pada 2 Mac sebagai sebahagian daripada konflik berpanjangan dengan Israel.

Sejak itu, Israel membalas dengan serangan pengeboman yang intensif.

Pada 8 April, sejurus selepas pengumuman gencatan senjata dengan Iran, Israel melancarkan 100 serangan udara di seluruh Lubnan termasuk di tengah ibu kota Beirut, mengorbankan lebih 350 orang.

Ia merupakan antara hari paling berdarah dalam konflik Israel-Lubnan setakat ini.

Walaupun rundingan diadakan, tiada tanda-tanda keganasan reda. Wartawan Al Jazeera, Obaida Hitto, melaporkan dari bandar Tyre serangan semakin meningkat sepanjang hari.

Serangan mencetuskan siren amaran dron dan roket di kawasan utara Israel berhampiran sempadan Lubnan. Setakat Selasa, Hizbollah mendakwa telah melancarkan 24 serangan ke atas utara Israel dan tentera Israel di selatan Lubnan.

Beberapa pegawai menyatakan Israel berhasrat mewujudkan zon keselamatan sehingga ke Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan.

Namun, pengkritik berpendapat usaha itu bertujuan mengukuhkan pendudukan serta mengubah sempadan antarabangsa dengan Lubnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini