Jumlah pejuang Hamas bertambah, penentangan semakin hebat

Jumlah pejuang Hamas bertambah, penentangan semakin hebat

HAMAS memaklumkan pasukan pejuangnya semakin bertambah sejak Zionis meningkatkan serangan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Walaupun melakukan serangan bertubi-tubi di seluruh Gaza sejak dua bulan lalu tentera Israel masih tidak dapat menumpaskan pejuang Hamas.

Menurut laporan, Hamas sukar ditumbangkan kerana pasukan pertahanan mereka sentiasa bertambah dan diakui sangat kukuh.

PENENTANGAN BAHARU

Selama beberapa hari sebelum pencerobohan darat berlaku, Israel memulakan proses pemusnahan sistematik Gaza menggunakan strategi ‘tali pinggang api’.

Pada dasarnya strategi itu melibatkan tindakan membakar segala-gala yang menghalang perjalanan mereka dan meratakan banyak kawasan kejiranan serta dataran kediaman untuk mewujudkan laluan pencerobohan lebih besar.

Hasilnya ialah pembunuhan beramai-ramai ribuan rakyat Palestin yang belum pernah berlaku dalam sejarah perjuangan menentang pendudukan Israel.

Namun, memasuki Gaza bukanlah tugas yang mudah kerana berpuluh-puluh kereta kebal dan kenderaan tentera dilaporkan musnah pada hari-hari awal pencerobohan darat Israel.

Israel sudah menjangkakan perkara itu dan memaklumkan tentang hari-hari sukar yang bakal dihadapi berdasarkan kenyataan pelbagai ahli Majlis Perang Israel.

Pada 8 November, hari-hari yang sukar itu kelihatan berakhir, apabila jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari mengisytiharkan Hamas hilang kawalan di utara Gaza.

Kenyataan ini khususnya bertujuan untuk menyerlahkan bahawa Israel sudah bersedia untuk peringkat seterusnya perang menyerang selatan.

Realiti di lapangan, bagaimanapun, mencerminkan sama ada tentera Israel kurang sedar tentang situasi di utara Gaza, atau sememangnya menjadi resam ahli politik rejim Zionis yang sering tergesa-gesa mengisytiharkan apa sahaja pencapaian mereka walaupun tidak menyeluruh.

Sebaik sahaja Israel memulakan operasi daratnya di selatan Gaza pada 4 Disember, penentangan Palestin di utara dilaporkan muncul lebih kuat daripada hari-hari awal perang.

Jelas sekali pengunduran besar berlaku di utara Gaza apabila seorang pegawai tertinggi Briged Al-Qassam dalam temu bual dengan Al-Jazeera menganggarkan, hampir 70 peratus daripada semua tentera Israel sudah ditarik balik dari kawasan berkenaan

Beliau menyifatkan pengunduran itu berpunca daripada kekuatan penentangan pertahanan Palestin.

BELUM MENANG

Sejak beberapa hari lalu, penganalisis tentera Israel, wartawan dan beberapa pegawai mula berdebat tentang kebenaran adakah utara Gaza benar-benar sudah jatuh ke tangan rejim Zionis.

Bukan sahaja utara Gaza masih berperang, malah menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Briged Al-Qassam, penentangan di tengah, utara dan selatan Gaza lebih kuat berbanding sebelum ini.

Jurucakap tentera Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah berkata, dalam tempoh 72 jam lalu, pejuang kumpulan itu berjaya memusnahkan 135 kenderaan tentera di semua tapak pertempuran di Semenanjung Gaza.

Abu berkata, hampir dua kenderaan tentera Israel musnah dalam tempoh sejam, nisbah kemusnahan tertinggi yang dikenakan ke atas Zionis dalam tempoh tiga hari sejak perang bermula.

Kumpulan Penentang Palestin dilaporkan mengumpul kekuatan melalui pengalaman selama dua bulan pencerobohan termasuk lebih 40 hari pertempuran jalanan.

Barisan pertahanan juga dilaporkan menukar cara menangkis kemajuan Israel bukan sahaja dari segi senjata, tetapi juga strategi ketenteraan dan usaha membaca tingkah laku anggota lawan.

Pengenalan senjata baharu, termasuk senapang penembak tepat Al-Ghoul yang dibangunkan oleh kumpulan Gaza Resistance sendiri didakwa turut digunakan dengan cekap apabila tentera Israel berani meninggalkan kenderaan mereka yang sudah dipenuhi ciri-ciri keselamatan.

Kesan psikologi peperangan dan melihat kekejaman penghapusan etnik yang dilakukan Zionis bukan mematahkan semangat kumpulan pejuang tetapi membuatkan mereka mahu kembali bangkit melakukan penentangan lebih besar menjadi antara kesilapan percaturan tentera Israel.

Selepas Zionis meratakan banyak kawasan kediaman dan bangunan sehingga menyebabkan ramai penduduk berpindah, pejuang Palestin mendapati lebih mudah untuk meletupkan kubu di mana tentera Israel berlindung.

Mereka semakin pantas mencari tempat persembunyian di dalam runtuhan, sementara masih cekap menggunakan terowong tempatan yang tidak terkira banyaknya untuk menyerang sebelum kembali ke kedudukan mereka dengan selamat.

Tetapi tentera Israel kini dilihat bakal berdepan tentangan yang lebih hebat ke atas setiap inci Gaza, dari titik paling jauh di selatan hingga ke kawasan hujung di utara yang sepatutnya sudah ditakluki.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya