Greece lulus undang-undang beri PATI permit penduduk

Greece lulus undang-undang beri PATI permit penduduk

PERDANA Menteri, Kyriakos Mitsotakis berucap di hadapan wakil rakyat menjelang pengundian mengenai Bajet 2024 di Parlimen Greece di Athens. - REUTERS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Parlimen Greece meluluskan undang-undang baharu yang akan membenarkan puluhan ribu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara itu mendapatkan permit penduduk  dan kerja.

Keputusan itu dibuat ketika Greece berdepan masalah kekurangan tenaga kerja tidak mahir.

Undang-undang yang digubal oleh kerajaan berhaluan tengah-kanan mengaitkan hak kelayakan taraf penduduk dengan bukti pekerjaan.

Menurut kementerian sumber manusia, langkah itu akan memberi kesan kepada kira-kira 30,000 orang yang kebanyakannya adalah pekerja di sektor pertanian.

Agensi migrasi dan pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuji langkah diambil Greece dalam meluluskan undang-undang baharu itu.

Undang-undang baharu itu terpakai kepada golongan PATI yang sudah tinggal di Greece tanpa permit penduduk sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga akhir November lalu.

Bagaimanapun, undang-undang baharu itu tidak meliputi kehadiran migran selepas tempoh berkenaan.

Dilaporkan, usul pemberian permit berkenaan kepada PATI disokong oleh 262 penggubal undang-undang daripada jumlah 300 ahli Parlimen yang hadir.

Sementara itu, Menteri Migrasi Greece, Dimitris Kairidis memuji konsensus rentas parti dan memaklumkan langkah itu akan membantu menangani permintaan pasaran untuk pekerja kurang mahir.

Katanya, kerajaan berusaha menggabungkan `kawalan sempadan dan menangani isu pemerdagangan migran dengan memudahkan penghijrahan berlandaskan undang-undang’ mengikut keperluan Greece.

Bagaimanapun, tegas beliau, undang-undang baharu itu tidak akan membenarkan memperoleh kewarganegaraan Greece atau hak penyatuan semula keluarga secara tidak sah.

Tambahnya, pemberian permit itu akan bergantung kepada pekerjaan berterusan migran berkenaan. – AP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN