'Amarah' Gunung Merapi ragut nyawa pendaki

‘Amarah’ Gunung Merapi ragut nyawa pendaki

GUNUNG Merapi dilaporkan aktif sejak Januari lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG: Sekurang-kurangnya 11 pendaki ditemui mati selepas letusan Gunung Merapi memuntahkan hujan abu panas dan mencetus gempa bumi di wilayah Agam, Sumatera Barat.

Gunung Merapi setinggi 2,891 meter yang meletus kelmarin memuntahkan abu 3,000 meter ke langit sehingga menghujani sekitar kawasan kampung berhampiran.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik berkata, seramai 75 pendaki berada di gunung berkenaan ketika letusan berlaku.

Beliau mengesahkan seramai 49 pendaki sudah menuruni gunung sementara tiga lagi dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dengan 10 mangsa dibawa ke hospital akibat melecur dan mengalami kecederaan.

Menurut Abdul Malik, letusan gunung berapi itu dilaporkan masih berterusan hingga menyebabkan usaha mencari 12 lagi mangsa yang masih hilang terpaksa ditangguhkan.

“Kami menemui 14 daripada mereka, tiga ditemui hidup dan 11 ditemui mati.Tiga mangsa yang terselamat ditemui berhampiran kawah. Keadaan mereka lemah dan ada yang melecur.

“Berikutan keadaan muka bumi yang sukar, anggota menyelamat bergilir-gilir membawa mayat menuruni gunung dengan operasi pemindahan menggunakan helikopter turut terganggu,” jelasnya.

Ramai penduduk di sekitar kawasan gunung berkenaan turut panik kerana dihujani abu tebal dan batu kelikir kecil yang gugur menimpa bumbung rumah mereka.

“Ia seperti hujan lebat yang menyebabkan bumbung berbunyi. Tetapi sebenarnya adalah jatuhan batu kelikir dengan bau sulfur yang sangat kuat,” kata penduduk, Romi kepada Kompas.com.

Video tular di media sosial turut menunjukkan keadaan kampung dan bandar berdekatan diselubungi banyak serpihan gunung berapi dan terdapat juga gambar debu gunung berapi menyelaputi muka dan rambut pendaki yang dipindahkan.

Abu dan asap tebal itu turut menghalang cahaya matahari dan pihak berkuasa sudah mengedarkan pelitup muka dan menggesa penduduk memakai cermin mata jika ingin keluar rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya