ISTANBUL: Turkiye memanggil pulang dutanya ke Israel berikutan keengganan negara itu untuk bersetuju melakukan gencatan senjata ketika konfliknya dengan Hamas semakin memuncak di Gaza.
Kementerian Luar Turkiye menyatakan keputusan itu dibuat adalah akibat daripada tragedi kemanusiaan yang berlaku di Gaza berikutan serangan berterusan Israel terhadap orang awam.
“Menyedari tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza akibat serangan berterusan Israel terhadap orang awam dan keengganan Israel memenuhi seruan gencatan senjata serta kemasukan bantuan kemanusiaan yang berterusan dan tanpa halangan, adalah diputuskan untuk memanggil balik Duta kita di Tel Aviv, Sakir Ozkan Torunlar ke Ankara untuk berunding,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tahun lalu, Torunlar menjadi duta pertama Turkiye ke Israel dalam tempoh empat tahun selepas negara itu menarik balik bekas dutanya sebagai membantah pembunuhan berpuluh-puluh rakyat Palestin pada 2018.
Tindakan itu mencerminkan ketegangan yang muncul antara kedua-dua negara, dengan Presiden Tukiye, Recep Tayyip Erdogan berkata sebelum ini bahawa kerajaannya akan memutuskan komunikasi dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Netanyahu bukan lagi seseorang yang boleh kami bercakap atau bincang dengannya. Kami sudah memadamkan namanya daripada senarai kami,” katanya.
Erdogan berkata, Gaza mesti menjadi sebahagian daripada negara Palestin yang merdeka dan berdaulat sebaik sahaja perang Israel-Pelastin berakhir.
Katanya, Ankara juga tidak akan menyokong sebarang rancangan memadamkan rakyat Palestin secara beransur-ansur daripada sejarah.










