Filipina nafi komplot tumbangkan kerajaan pimpinan Ferdinand Marcos Jr. - Utusan Malaysia

Filipina nafi komplot tumbangkan kerajaan pimpinan Ferdinand Marcos Jr.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Penasihat Keselamatan Negara Filipina hari ini menolak khabar angin mengenai komplot untuk menggugat kestabilan kerajaan Presiden Ferdinand Marcos Jr, dengan mengesahkan, tentera dan seluruh sektor keselamatan setia kepada ketua komander.

“Ya, terdapat pertukaran (pandangan) yang sihat dan bersemangat (dan) perdebatan di kalangan beberapa pesara atau bekas pegawai tentera termasuk beberapa kritikan terhadap dasar tertentu pentadbiran semasa, tetapi ia berada dalam lingkungan ruang demokrasi kita.

“Tiada plot ketidakstabilan (dan) gerakan terhadap kerajaan,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Eduardo Ano dalam satu kenyataan.

Kenyataan Ano dibuat selepas Ketua Tentera Filipina, Romeo Brawner, semalam seperti yang dipetik dalam media berkata, beliau mendengar mengenai ‘usaha ketidakstabilan’ dengan beberapa pegawai tentera berkata ‘presiden harus diganti atas banyak sebab’ dan ‘harus ada satu lagi rampasan kuasa’.

Ano berkata, kenyataan Brawner itu ‘disalah petik atau tafsir’ oleh pihak media.

“Sektor keselamatan akan terus berwaspada dan bersedia untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana kumpulan jahat yang mahu menjejaskan keselamatan negara kita,” kata Ano.

Marcos yang juga anak lelaki dan bernama serupa dengan pemimpin Filipina yang digulingkan dalam pemberontakan ‘kuasa rakyat’ pada1986, berjaya memenangi jawatan dalam pilihan raya presiden, tahun lalu.

Bagaimanapun, populariti beliau menurun ‘ketara’ berdasarkan tinjauan pendapat pada bulan September, kerana harga barangan pengguna yang melambung tinggi di Filipina menyebabkan sokongannya terjejas.

Setakat ini, tiada maklum balas segera dari pejabat Marcos.

Filipina sebelum ini menyaksikan puluhan percubaan rampasan kuasa sejak penggulingan Presiden Ferdinand Marcos pada 1986.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN