RIYADH: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman mengeluarkan arahan untuk melancarkan kempen mengumpul dana di platform Sahem yang bergabung dengan Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) bagi membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Sebagai permulaan, Raja Salman menderma 30 juta saudi riyal (RM37.91 juta), manakala Putera Mahkota menyumbang 20 juta saudi riyal (RM25.27 juta) untuk kempen berkenaan.
Dalam kenyataan media dilaporkan Saudi Gazette, Penasihat Mahkamah Diraja dan Ketua Penyelia KSrelief, Dr Abdullah Al Rabeeah, berkata kempen mengumpul dana itu adalah sebahagian daripada peranan bersejarah kerajaan dalam menyokong rakyat Palestin.
Beliau berkata sokongan kemanusiaan dan pembangunan daripada Arab Saudi tidak pernah berhenti sampai kepada rakyat Palestin.
Al Rabeeah menegaskan Arab Saudi berada di negara penderma teratas dalam memberikan sokongan kepada rakyat Palestin, sambil melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci dan Putera Mahkota atas sokongan mereka dalam membantu rakyat Palestin.
Derma boleh disalurkan melalui platform Sahem menerusi pautan https://sahem.ksrelief.org/Gaza, atau aplikasi mudah alih Sahem melalui Apple Store dan Google Play.
Penderma juga boleh menghantar sumbangan terus ke akaun bank kempen di Bank Al Rajhi. – AGENSI