BANGKOK: Kementerian Kesihatan Thailand sudah melengkapkan draf pertama Akta Penggunaan Ganja-Hem dan menegaskan tidak akan mengklasifikasikan semula ganja sebagai narkotik.
Lapor Bangkok Post, Menterinya, Cholnan Srikaew berkata, undang-undang baharu itu berdasarkan pindaan draf pertama yang mengandungi 94 bahagian.
Versi baharu pula dilaporkan mempunyai kira-kira 70 bahagian.
Jelas Cholnan, peraturan itu dikemas kini untuk menangani pelbagai kebimbangan awam dan kelemahan yang membenarkan orang ramai menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi.
Asas undang-undang masih mentakrifkan ganja sebagai herba terkawal namun sebarang ekstrak yang mengandungi lebih 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) kekal disenaraikan sebagai narkotik.
“Kementerian masih menyokong penggunaan ganja bagi tujuan perubatan namun bukannya untuk kegunaan rekreasi.
“Jadi, individu yang menanam pokok ganja termasuk untuk kegunaan peribadi, harus mendapatkan kebenaran di bawah undang-undang baharu,” katanya.
Berdasarkan versi pertama undang-undang penggunaan ganja dan hemp, setiap isi rumah dibenarkan menanam sehingga 15 pokok bagi kegunaan peribadi seperti untuk merawat penyakit.
Sebelum ini, isi rumah berkenaan hanya perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan, namun di bawah undang-undang baharu itu mereka mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Premis menjual ganja yang sudah mempunyai lesen boleh meneruskan perniagaan namun perlu mematuhi undang-undang baharu, misalnya melarang individu menghisap ganja di kedai dan tidak menjual tunas ganja kering.
Undang-undang baharu itu juga akan menyenaraikan lokasi yang dilarang dan dibenarkan untuk menjual ganja di premis.
“Kami tidak akan menutup semua kedai jual ganja, cuma pemilik premis perlu mematuhi undang-undang baharu.
“Sebelum ini, kita tidak dapat mengawal penggunaannya, tetapi di bawah undang-undang baharu, penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi sudah dilarang,” katanya.










