Apa jadi dengan jenazah Tok Leman?

Apa jadi dengan jenazah Tok Leman? (Siri akhir)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran, akhirnya jenazah Datuk Leman selamat dimandi dan dikafankan. Saya lihat isteri arwah dan anggota keluarga lain menarik nafas lega.

Nampaknya segala kesulitan yang berlaku dapat diatasi sepenuhnya. Tidak putus-putus mereka mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Jamal atas segala bantuan yang diberikan.

“Terima kasih ustaz, Alhamdulillah. Selamat urusan semuanya. Kalaulah tak ada ustaz tidak tahulah apa yang jadi,” kata Datin Nani, isteri arwah.

Ustaz Jamal hanya tersenyum. Saya dapat lihat ketenangan di raut wajahnya. Fikir saya sebagai seorang berpengalaman pastinya dia sudah biasa melalui situasi seperti ini.

Selesai sahaja urusan sembahyang, jenazah arwah terus dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan.

Ketika talqin dibaca saya dapat lihat beberapa kenalan arwah hadir di situ, mungkin agaknya mereka baru terima berita yang jenazah arwah akan dikebumikan pada malam itu juga.

“Kenapa tidak tunggu esok sahaja kebumikan? Ramai lagi kenalan arwah hendak datang ziarah,” kata Datuk Mansur kepada Datin Nani.

Saya tidak tahu apa jawapan yang diberikan oleh Datin Nani, namun saya percaya dia akan memberikan alasan bijak dan bernas untuk menutup perkara yang berlaku.

Setelah selesai urusan pengebumian, kami meminta diri untuk beredar. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah fikiran saya merewang jauh memikirkan apa yang berlaku pada jenazah Tok Leman, sudahlah ‘dijemput’ secara tiba-tiba, kemudian timbul pula perkara yang tidak diingini.

Saya berfikir apa yang menyebabkan jenazah arwah jadi sebegitu rupa. Memang pelik kerana jenazah tersebut bukanlah disimpan lama, malah hanya beberapa jam, tetapi kenapa boleh jadi sedemikian rupa? Saya tidak dapat mencari jawapannya.

Keesokannya cerita Tok Leman meninggal dunia kembali menjadi buah mulut. Namun yang tidak enak didengar apabila ada yang bercerita kononnya jenazah Tok Leman tidak sempurna lalu dikebumikan dalam masa singkat semata-mata untuk menutup rasa malu pihak keluarga.

Saya tidak tahu siapa yang menjaja cerita tersebut. Maklumlah, mulut orang mana boleh ditutup. Pasti akan terkeluar juga cerita-cerita yang kurang enak sebegini sehinggakan perkara yang tidak wujud pun ditokok tambah.

Hari Jumaat berikutnya saya terserempak dengan anak saudara arwah Tok Leman, Hashim ketika kami beriringan keluar dari masjid selepas selesai menunaikan solat jumaat. Sempat juga saya bertanya tentang perniagaan arwah, maklumlah arwah memang banyak bisnes, jadi bila dia meninggal dunia mestilah ada orang lain yang menguruskannya.

Menurut Hashim, semua perniagaan arwah dikendalikan oleh anak-anaknya, namun dia turut membantu terutamanya berkaitan pembinaan. Saya angguk faham.

Memang selayaknya Hashim membantu uruskan hal tersebut kerana dia juga mempunyai kelulusan dalam bidang berkaitan,

Tiba-tiba Hashim bertanya kepada saya tentang arwah, katanya, adakah saya terkejut apabila melihat jenazah arwah pada hari dia meninggal dunia?

Saya terdiam sambil memandang ke arahnya dengan seribu persoalan.

“Sebenarnya kami sekeluarga pun pelik bang. Tak tahu kenapa jenazah arwah boleh jadi seperti itu. Macam ada sesuatu yang tidak kena, tapi entahlah. Saya pun tiada jawapan.

“Saya rasa mungkin Allah hendak tunjukkan sesuatu kepada kita. Mungkin ada sisi lain yang orang tidak pernah tahu tentang arwah,” katanya kepada saya.

Saya tersenyum. Mungkin benar apa yang diperkatakan Hashim itu namun saya tidak berani bercerita lanjut kerana serba sedikit saya sudah dimaklumkan oleh sahabat saya, Malik yang pernah bekerja dengannya satu ketika dahulu dan saya juga tidak pasti sama ada ia punyai kaitan atau pun tidak.

“Tak apalah, benda sudah berlaku. Kita yang masih hidup ini jadikanlah pengajaran dan pedoman. Itu antara dia dan Tuhan, kita sebagai hamba ikut sahaja tuntutan yang disyariatkan,” kata saya kepadanya.

“Betul itu bang, tapi itulah masalahnya. Sampaikan keluarga kami pun tertanya-tanya kenapa jadi begitu? Emak saya ini antara adik beradik yang paling rapat dengan arwah, dia pun keliru dan tertanya-tanya sampai ke hari ini kerana katanya arwah memang baik hati dan suka bantu orang lain,” sambung Hashim panjang lebar.

Saya tidak menyanggah apa yang diperkatakan hashim itu. Namun saya percaya tidak semua sisi negatif itu diketahui oleh ahli keluarga dan sanak saudara terdekat, mungkin hanya orang yang rapat dan pernah berurusan sahaja yang mengetahuinya.

Entahlah, saya sendiri tidak mahu menghakimi apa yang berlaku, lagipun saya bukanlah individu yang rapat dengan arwah ketika hayatnya.

Namun saya percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, dan pasti Allah SWT ingin menunjukkan sesuatu kepada setiap umatnya.
Wallahualam.

Daripada Abdillah bin ‘Amar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya.” (Riwayat al-Tirmizi (1944) –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN