TEHERAN: Sekurang-kurangnya 27 orang maut dalam kebakaran di pusat pemulihan dadah di utara Iran pada awal hari ini, menurut badan kehakiman.
“Dua puluh tujuh maut dan 12 lagi dibawa ke hospital selepas kebakaran berlaku di pusat pemulihan dadah di Langarud”, sebuah bandar di wilayah Gilan di utara Teheran, kata laman web berita Mizan Online memetik Ketua Hakim Wilayah, Esmail Sadeghi.
Sadeghi berkata punca kebakaran di pusat pemulihan yang boleh memuatkan sehingga 40 orang itu masih dalam siasatan.
Agensi berita tempatan ISNA berkongsi rakaman api yang menerangi langit malam dengan kepulan asap besar ke udara.
Imej lain menunjukkan lokasi kejadian rosak teruk selepas api berjaya dikawal.
Pada Ogos lalu, kebakaran berlaku di Grand Bazaar Teheran, merosakkan beberapa kedai tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa.
Pada Januari 2017, kebakaran di pusat beli-belah Plasco 15 tingkat di Tehran, membunuh sekurang-kurangnya 22 orang, termasuk 16 anggota bomba. – AFP










