WASHINGTON: Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas dalam serangan bertubi-tubi di Semenanjung Gaza tetapi dilihat tidak mempunyai percaturan akhir dan rancangan jelas bagaimana untuk mentadbir wilayah Palestin yang musnah sekiranya rejim zionis berjaya di medan perang.
PELAN KABUR
Menurut lapan pegawai serantau dan Barat, kempen ketenteraan diberi nama kod Operation Swords of Iron, tidak akan dapat ditandingi dalam keganasannya dan tidak seperti apa yang dilakukan Israel di Gaza pada masa lalu.
Israel dilaporkan memanggil 360,000 pasukan simpanan dan mengebom kawasan kecil itu tanpa henti berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Menurut tiga pegawai serantau yang sering menyertai perbincangan antara Amerika Syarikat (AS) dan pemimpin Asia Barat, strategi segera Israel adalah untuk memusnahkan infrastruktur Gaza walaupun dengan kos korban awam yang tinggi.
Rejim zionis juga berusaha menolak penduduk Gaza ke sempadan Mesir dan mengejar Hamas dengan meletupkan sistem terowong bawah tanah yang dibina kumpulan itu untuk menjalankan operasinya.
Tetapi menurut sumber berkenaan, pegawai Israel sendiri mengakui tidak mempunyai idea yang jelas tentang apakah yang akan berlaku di masa depan selepas perang selesai.
Sumber di Washington turut mendakwa beberapa pembantu Presiden AS, Joe Biden kini bimbang kerana Israel hanya merangka pelan berkesan untuk menimbulkan kerosakan berpanjangan kepada Hamas, tetapi masih belum berhasil merancang strategi keluar daripada peperangan itu.
Pegawai Arab juga bimbang rejim zionis hanya galak melakukan kemusnahan tetapi tidak menetapkan rancangan yang jelas untuk masa depan lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang diperintah oleh Hamas sejak 2006.
“Israel tidak mempunyai perlawanan akhir untuk Gaza. Strategi mereka adalah untuk menjatuhkan beribu-ribu bom, memusnahkan segala-galanya dan masuk, tetapi kemudian bagaimana? Mereka tidak mempunyai strategi keluar untuk hari berikutnya,” kata satu sumber keselamatan serantau.
Dalam lawatan ke Israel kelmarin, Biden memberitahu Israel bahawa keadilan perlu ditegakkan terhadap Hamas, namun memberi amaran bahawa selepas serangan 9/11 di New York, AS melakukan banyak kesilapan.
“Sebahagian besar rakyat Palestin bukan Hamas. Hamas tidak mewakili rakyat Palestin,” katanya.
BANDAR TEROWONG
Dua pakar tentera serantau memberitahu bahawa sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam bersedia untuk pencerobohan di Israel dengan menubuhkan lombong anti-kereta kebal dan jerangkap samar untuk menyerang tentera rejim zionis.
“Ini mungkin lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Ia adalah bandar terowong bawah tanah yang jauh berbeza daripada terowong Vietcong pasukan gerila komunis yang menentang tentera AS di Vietnam.
“Israel jelas tidak boleh menamatkan Hamas hanya dengan kereta kebal dan senjata api,” kata sumber serantau.
Pakar di Washington berkata, walaupun dapat memusnahkan Hamas sepenuhnya, mereka kurang yakin Israel mahu memegang mana-mana wilayah Gaza atau mendudukinya semula.
“Senario yang lebih berkemungkinan adalah pasukan Israel membunuh atau menangkap seberapa ramai ahli Hamas yang mereka boleh, meletupkan terowong dan bengkel roket.
“Kemudian selepas korban Israel meningkat, cari jalan untuk mengisytiharkan kemenangan dan keluar,” kata sumber AS.
Washington bercadang untuk menguatkan semula Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang kehilangan kawalan ke atas Gaza kepada Hamas pada 2007, walaupun terdapat keraguan besar sama ada PA atau mana-mana pihak berkuasa lain akan dapat mentadbir kawasan itu sekiranya Hamas dihalau keluar.
Pakar Asia Barat Carnegie Endowment for International Peace, Aaron David Miller berkata, lawatan Biden akan memberi beliau peluang untuk menekan Presiden Israel, Benjamin Netanyahu supaya segera memikirkan isu-isu seperti had penggunaan kekerasan serta rancangan jangka panjang untuk Gaza sebelum sebarang pencerobohan.
Miller yang juga bekas perunding Asia Barat AS turut meragui potensi untuk menubuhkan kerajaan pasca-Hamas bagi memerintah Gaza.
“Saya tidak boleh membayangkan bagaimana untuk menggabungkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), PA, Saudi dan Mesir yang diketuai oleh AS bersama orang Eropah untuk mengubah Gaza daripada penjara terbuka kepada sesuatu yang lebih baik. Tidak sama sekali,” katanya.-REUTERS










