JASIN: Tapak pembangunan projek menara telekomunikasi berhampiran Kampung Jus Permai, Selandar dekat sini dipindahkan berikutan bantahan penduduk tentang kemungkinan radiasi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perubahan jarak dilakukan daripada 40 meter kepada 70 meter dari rumah pertama penduduk.
Katanya, mereka perlu memahami bahawa pembinaan itu adalah bagi menyediakan jaringan komunikasi lebih baik kepada 500 penduduk setempat, termasuk dua institusi pengajian tinggi (IPT) dan Empangan Jus.
“Kita terima memorandum penduduk yang bimbang pembinaan menara itu terlalu dekat dengan rumah dan bimbang ada radiasi. Kita jarakkan lagi tapak itu dan saya harap perkara ini dapat diterima penduduk kerana ini adalah untuk kemudahan masyarakat setempat mendapat liputan telekomunikasi dan capaian internet.
“Selain itu. ia turut memberi kelegaan kepada pelajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Komuniti Selandar yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus di pekarangan Surau An-Nur, Kampung Jus Permai, semalam.
Fairul Nizam berkata, penduduk telah diberi penerangan lanjut dalam aspek teknikal berkaitan kelulusan projek itu yang menepati syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Beliau berkata, pembinaan tersebut merupakan inisiatif di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar. – UTUSAN










