BANGKOK: Thailand menjangkakan untuk menarik kira-kira 2.9 juta pelancong dari China yang mampu menyumbang sehingga 140.3 bilion baht (RM18.8 bilion) susulan pelaksanaan pengecualian visa selama lima bulan.
Program dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu mengukuhkan pemulihan ekonomi Thailand yang masih goyah.
Jurucakap kerajaan, Chai Wacharonke, berkata sehingga kini program pengecualian visa bermula 25 September hingga Februari depan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Beliau berkata, selepas dua hari pelaksanaan pengecualian visa itu lebih 22,000 pelancong China dilaporkan memasuki Thailand.
“Kita menjangkakan Thailand mampu meraih sebanyak 140.3 bilion baht hasil pelancongan daripada program itu,” katanya di Facebook.
Pengecualian visa dijangka mempercepatkan kedatangan semula pelancong China yang sebelum ini menyumbang kepada jumlah pelancongan tertinggi ke Thailand sebelum Covid-19.
Perdana Menteri, Srettha Thavisin, yang mengambilalih pentadbiran sejak bulan lalu menguatkuasakan pengecualian visa untuk pelancong China dan Kazakhstan sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan ekonomi negara itu.
Ia dilaksanakan bagi meningkatkan hasil pelancongan ketika sebelum Covid-19 dengan sasaran 3.1 trilion baht pada 2024.
Chai berkata, berdasarkan laporan Kedutaan China di Thailand, kira-kira 650,000 warga China menempah perjalanan ke Thailand pada Oktober.
Katanya, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menjangkakan ketibaan warga China sekitar 4 hingga 4.4 juta tahun ini.
Sebelum ini, Srettha dilaporkan menyambut baik kemasukan pelancong China ke Thailand melalui pelaksanaan pengecualian visa itu.
“Thailand sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan semua saudara kita dari China. Negara ini mempunyai laut yang indah dan pelbagai makanan tempatan. Harap semuanya dapat berkunjung ke Thailand dengan selamat dan berasa teruja,” katanya melalui media sosial, X.
Sepanjang tahun ini, Thailand sudah menerima kunjungan 19.5 juta pelancong asing dan menjangkakan sebanyak 28 juta lagi menjelang akhir tahun.
Menurut Kementerian Pelancongan, sehingga 25 September lalu Thailand merekodkan jumlah pelancong paling tinggi dari Malaysia iaitu sebanyak 3.2 juta diikuti China 2.4 juta.