Rejim zionis tak puas serang Gaza

Rejim zionis tak puas serang Gaza

PENDUDUK Palestin memindahkan mayat dari runtuhan bangunan yang terkena bedilan bom Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel menggempur Gaza dengan serangan udara yang lebih intensif di sekitar utara dan selatan wilayah itu, ketika Amerika Syarikat (AS) menyatakan komitmen untuk mendapatkan lebih banyak bantuan kepada rakyat Palestin yang kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.

BELUM PUAS BEDIL GAZA

Puluhan ribu tentera Israel dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang serangan darat yang dijangkakan akan bermula tidak lama lagi.

“Mulai hari ini, kami meningkatkan serangan dan meminimumkan bahaya.

“Kami perlu memasuki fasa perang seterusnya dalam keadaan terbaik, bukan mengikut apa yang diberitahu oleh sesiapa kepada kami,” kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari.

Semasa lawatan briged barisan hadapan, Ketua Kakitangan Tentera Israel, Herzi Halevi berkata, pasukannya bersedia menangani sebarang kejutan yang dirancang Hamas untuk mereka di Gaza.

“Gaza berpenduduk padat, musuh sedang menyediakan banyak perkara di sana tetapi kami juga sedang bersiap untuk mereka,” kata Halevi.

Media Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan di bandar Khan Yunis dan bedilan bom turut memusnahkan kawasan penduduk di Rafah.

Kerajaan Hamas berkata, sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh dalam serbuan semalaman di Semenanjung Gaza, selepas Israel mengumumkan untuk meningkatkan serangan mereka.

Lebih 30 buah kediaman turut musnah dalam serangan yang berlaku beberapa jam selepas Hagari menyeru rakyat Gaza untuk bergerak ke selatan jika ingin menyelamatkan nyawa mereka.

Konvoi bantuan kemanusiaan pertama yang dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza sejak perang meletus tiba melalui lintasan sempadan Rafah kelmarin.

BANTUAN TAK MENCUKUPI

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, konvoi 20 trak itu termasuk bekalan keperluan penting untuk menyelamatkan nyawa yang akan diterima oleh Bulan Sabit Merah Palestin.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengalu-alukan bantuan itu dan menggesa semua pihak untuk memastikan laluan Rafah dibuka.

Tetapi Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, jumlah barangan yang masuk hanya bersamaan dengan kira-kira empat peratus daripada purata import harian ke Gaza sebelum konflik Israel-Hamas tercetus.

Tetapi jurucakap Hamas berkata, konvoi sedemikian tidak dapat memenuhi keperluan Gaza, terutamanya kerana tiada bahan api dibenarkan masuk untuk membantu mengagihkan bekalan kepada mereka yang memerlukan.

Di Kaherah, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menjadi tuan rumah sidang kemuncak damai yang dihadiri oleh pemimpin serantau dan beberapa pemimpin Barat.

Bagaimanapun sidang kemuncak itu berakhir tanpa kenyataan bersama, yang memperlihatkan jurang antara negara Arab dan Barat tentang cara terbaik untuk membawa keamanan berkekalan di antara Israel dan Palestin.

Perwakilan Barat menuntut kecaman yang jelas meletakkan tanggungjawab terhadap konflik itu ke atas Hamas namun pemimpin Arab menolak untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, tuan rumah Mesir mengeluarkan kenyataan yang dirangka dengan kelulusan perwakilan Arab, mengkritik pemimpin dunia kerana hanya berusaha mengurus konflik tetapi tidak mencari solusi untuk menamatkannya secara kekal.

TEBING BARAT JADI MANGSA

Sementara itu, sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam operasi pasukan keselamatan Israel yang berlangsung selama 28 jam di kem pelarian Tebing Barat.

Menurut Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Tebing Barat, Adam Bouloukos, operasi itu berlaku di kem Nur Shams.

Jelas beliau, UNRWA terpaksa menggantung sekolah, perkhidmatan kesihatan dan kutipan sisa pepejal di kem itu berikutan serangan tersebut.

Semalam, pesawat Israel dilaporkan turut membedil perkarangan sebuah masjid di Jenin yang didakwa digunakan pejuang Hamas menyebabkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, sekurang-kurangnya 84 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat yang diduduki sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.-AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya