GAZA CITY: Berpuluh-puluh penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ketika cuba meninggalkan rumah mereka di utara Semenanjung Gaza.
Perkara itu disahkan oleh pegawai Hamas selepas tentera Israel mengarahkan lebih sejuta rakyat Palestin berpindah ke selatan semenanjung dalam tempoh 24 jam akan datang.
Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak dan menganggap mustahil untuk gerakan sebegitu berlaku tanpa impak kemanusiaan yang memusnahkan.
Lapor Al Jazeera, Pejabat media Hamas memaklumkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan kenderaan yang meninggalkan kota Gaza.
Jelasnya, kebanyakan mangsa terbunuh terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Menurut Hamas, kenderaan tersebut disasarkan di tiga tempat.
Ribuan penduduk Palestin mula berpindah ke selatan Gaza sejak semalam ketika Israel melakukan serangan udara tanpa henti.
Terdahulu, Israel meminta 1.1 juta penduduk Palestin berpindah ke selatan Semenanjung Gaza bagi melancarkan serangan darat yang menyasarkan pejuang Hamas.
Pihak berkuasa Israel juga mengedarkan risalah yang meminta penduduk Gaza berpindah segera sebelum operasi itu dilancarkan.










