BANGKOK: Polis Thailand hari ini menahan dua lelaki yang dituduh menjual pistol kepada seorang remaja berusia 14 tahun yang disyaki melakukan serangan di pusat beli-belah Bangkok sehingga mengorbankan dua mangsa.
Remaja itu didakwa membunuh dalam serangan di pusat beli-belah Siam Paragon, Selasa lalu yang dipercayai menggunakan pistol peluru kapur yang diubah suai untuk menembak peluru hidup.
Pegawai di wilayah Yala di selatan Thailand menahan dua lelaki pada awal pagi tadi kerana disyaki menjual pistol kepada remaja berkenaan.
Seorang pegawai kanan polis Yala, berkata pihaknya menyerbu rumah suspek untuk mencari lebih banyak bukti berkaitan kes itu.
“Mereka dihantar ke Bangkok untuk disoal siasat,” katanya.
Ratusan pengunjung melarikan diri dari pusat beli-belah yang penuh sesak kerana ketakutan apabila mendengar bunyi tembakan.
Tujuh orang ditembak secara keseluruhan, manakala seorang wanita dari China dan Myanmar terkorban.
Suspek berusia 14 tahun didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, membawa dan melepaskan tembakan di tempat awam, dan memiliki senjata api tanpa lesen.
Tertuduh kini menjalani ujian psikiatri untuk melihat sama ada dia layak untuk dibicarakan.
Dia sebelum ini menerima rawatan untuk penyakit mental, namun berhenti mengambil ubat.
Tembakan itu mencetuskan gesaan baharu bagi kawalan senjata yang lebih ketat di negara itu. – AFP