SURABAYA: Polis Indonesia sedang menjalankan beberapa siri siasatan terhadap kes anak seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang mendera kekasihnya sehingga meninggal dunia di Surabaya baru-baru ini
Timbalan Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Surabaya, Pesuruhjaya Teguh Setiawan berkata, suspek, Gregorius Ronald Tannur diarahkan mengulangi semula 41 aksi yang dilakukannya di kawasan Lenmarc Mall pada 3 dan 4 Oktober lalu.
“Kami bawa suspek dan mengarahkannya melakonkan semula apa yang dilakukan kepada mangsa di lokasi waktu kejadian,” katanya.
Gregorius yang merupakan anak kepada anggota DPR Nusa Tenggara Timur, Edward Tannur dilaporkan membawa mangsa, Dini Sera Afrianti ke pusat karaoke Blackhall KTV di Lenmarc Mall di Surabaya sebelum dilihat bertengkar di kawasan berkenaan.
“Ketika berada di dalam lif, suspek menendang dan memukul kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan botol arak.
“Kemudian mangsa digilis dan diseret sejauh lima meter oleh kenderaan suspek ketika mereka berada di tempat letak kereta.
“Setelah melihat keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri, suspek bergegas membawanya ke hospital sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” kata Teguh.
Suspek turut membuat laporan palsu di Balai Polis Lakarsantri mendakwa mangsa meninggal dunia akibat masalah perut.