RAFAH: Kakitangan Mesir berusaha membaiki kawasan jalan di pintu sempadan Rafah yang rosak teruk akibat dibedil Israel bagi memudahkan lebih 20 lori bantuan masuk ke Gaza.
Gaza masih dikepung dengan Israel menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan bahan api merentasi sempadannya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, wilayah itu kini seakan ‘lubang neraka’ dan masa semakin suntuk untuk menghantar bantuan kepada orang awam yang amat terdesak dan memerlukan makanan serta perubatan segera.
Mesir berkata, serangan Israel melanda kawasan sekitar persimpangan Rafah lebih empat kali sejak rejim zionis memulakan pengeboman udara ke atas Gaza.
Media Mesir berkata, lintasan itu ditutup selepas tiga serangan Israel pada 9 dan 10 Oktober yang turut menyebabkan kerosakan besar serta kecederaan kepada penduduk di bahagian sempadan Mesir dan Palestin.
Isnin lalu, wartawan BBC di selatan Gaza mengesahkan kawasan sekitar lintasan itu dibedil oleh Israel hingga merosakkan sebuah bangunan di bahagian lintasan Palestin serta jalan raya.