Lebih 100,000 sertai protes pro-Palestin kedua di London, pamer solidariti terhadap penduduk Gaza - Utusan Malaysia

Lebih 100,000 sertai protes pro-Palestin kedua di London, pamer solidariti terhadap penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ribuan orang mengambil bahagian dalam protes pro-Palestin di London untuk hujung minggu kedua berturut-turut.

Polis menganggarkan sehingga 100,000 orang menyertai perarakan itu, yang berakhir dengan perhimpunan berhampiran Downing Street.

Demonstrasi yang lebih kecil berlaku di Birmingham, Belfast, Cardiff dan Salford.

Perhimpunan solidariti itu dibuat ketika penghantaran bantuan sampai ke Gaza buat kali pertama sejak Israel mengenakan sekatan berikutan serangan Hamas 7 Oktober lalu.

Pegawai Palestin berkata, lebih 4,000 orang terbunuh di Gaza akibat pengeboman Israel.

Penunjuk perasaan melaungkan ‘Bebaskan Palestin’ sambil memegang sepanduk dan mengibarkan bendera Palestin, bergerak melalui London sebelum berkumpul di kediaman rasmi dan pejabat Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak di Downing Street.

Polis berkata, lebih 1,000 pegawai dikerah mengawasi acara di London itu.

Di Cardiff, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk sokongan mengambil bahagian dalam perarakan ke arah Parlimen Wales.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh beberapa kumpulan yang menyeru kerajaan Britain dan Wales untuk mendesak gencatan senjata segera di Gaza dan bantuan kemanusiaan penuh dihantar kepada penduduknya.

“Penduduk London turun ke jalanan bukan sahaja untuk mempamerkan solidariti kepada penduduk Gaza dan menunjukkan sokongan kami kepada mereka, tetapi juga untuk membuat kerajaan mendengar, dan berkata tidak terhadap keganasan yang melampau ini,” kata anggota Kempen Solidariti Palestin Cardiff, Maggie Morgan.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.