ANKARA: Sekurang-kurangnya 11 wartawan terbunuh dalam pertempuran semasa di tengah-tengah serangan udara besar-besaran Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Perkara itu disahkan oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Lapor agensi Anadolu, seorang juruvideo bekerja di Reuters maut dalam serangan Israel di selatan Lubnan semalam.
Dua lagi wartawan dari televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Doha dilaporkan mengalami kecederaan dalam serangan udara itu.
“Dalam tempoh tujuh hari pertama pertempuran, sekurang-kurang 11 wartawan terbunuh, dua cedera dan dua lagi dilaporkan hilang.
“Sebelum ini, sembilan wartawan Palestin disahkan meninggal dunia, seorang pengamal media terbunuh dan seorang lagi masih hilang.
“Semalam, seorang wartawan berpangkalan di Beirut terbunuh ketika serangan tentera Israel di selatan Lubnan,” jelas kenyataan itu.
Menurut CPJ, wartawan di Gaza berdepan risiko tinggi ketika membuat liputan berita mengenai konflik Palestin-Israel di tengah-tengah serangan udara yang berterusan.
Tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan berterusan ke atas Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut kumpulan pejuang Hamas di wilayah rejim zionis itu.