GAZA CITY: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengumumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memindahkan operasinya ke selatan Gaza selepas tentera Israel memberi amaran supaya semua penduduk wilayah itu berpindah dalam tempoh 24 jam.
“UNRWA sudah memindahkan operasinya dan petugas antarabangsa ke bahagian selatan Gaza bagi meneruskan kerja-kerja kemanusiaan.
“Kami akan sentiasa membantu rakyat Palestin, biarpun keadaan sangat genting,” menurut agensi itu dalam platform X.
Terdahulu, tentera Zionis menggesa 1.1 juta penduduk Palestin berpindah ke bahagian selatan Gaza dalam tempoh 24 jam akan datang, sekali gus dikhuatiri menjadi petanda Israel bakal melancarkan serangan darat secara besar-besaran.
PBB menyatakan, arahan pemindahan melibatkan jumlah populasi yang banyak itu adalah mustahil untuk dilakukan dalam tempoh masa yang singkat.
Sehubungan itu, PBB mendesak Israel supaya menarik balik arahan tersebut bagi mengelakkan lebih banyak kekecohan.
Lebih 1,530 penduduk gaza maut akibat serangan udara tentera Israel sejak Sabtu lalu, manakala Israel mendakwa lebih 1,200 rakyatnya terbunuh diserang Hamas.
BANTAH PINDAH
Hamas dalam pada itu menolak arahan Israel untuk memindahkan 1.1 juta penduduknya di utara Gaza dalam tempoh 24 jam.
“Rakyat kami enggan ikut arahan Zionis dan kalau begitu, lebih baik Israel yang keluar dari tanah kami.
“Kami akan hidup dan mati di tanah kami, Zionis yang tiada hak di sini,” kata pergerakan itu dalam kenyataan
HOSPITAL JADI RUMAH MAYAT
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggesa supaya akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dibuka segera selepas sistem kesihatan di wilayah itu semakin kritikal.
Hampir semua hospital di Gaza dilaporkan sesak dengan mangsa bedilan bom Israel dan situasi itu disukarkan dengan bekalan elektrik yang dihadkan, menyebabkan pesakit yang memerlukan rawatan intensif mungkin ‘dibiarkan mati’.
Selain itu, hospital di Gaza juga mengalami kekurangan bekalan ubat-ubatan dan peralatan untuk digunakan dalam perawatan.
“Tanpa akses kemanusiaan segera ke Gaza, terutamanya bekalan ubatan, makanan, air bersih, bahan api, pasukan sukarelawan sukar membantu rakyat Palestin yang terjejas.
“Setiap saat itu amat berharga untuk merawat dan menyelamatkan penduduk Gaza yang cedera atau terjejas,” menurut WHO dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Palang Merah (ICRC) turut menzahirkan kebimbangan yang sama dengan menyifatkan keadaan di Gaza ‘amat daif’.
“Selepas Gaza terputus bekalan tenaga, hospital juga terjejas, menyebabkan bayi yang baru dilahirkan dan diletakkan dalam inkubator, pesakit yang memerlukan oksigen berisiko meninggal dunia.
“Hospital di gaza boleh bertukar jadi rumah mayat jika keadaan seperti ini berterusan,” ujar pengarah Serantau bagi ICRC Asia Barat, Fabrizio Carboni.
GAZA TANAH RAKYAT PALESTIN
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi terus mengecam Israel apabila menegaskan penduduk gaza perlu kekal di tanah air mereka tanpa perlu pergi ke mana-mana.
Sebelum itu, pelbagai pihak mendesak Kaherah membenarkan koridor keselamatan bagi membawa keluar semua penduduk yang terkandas di Gaza.
Laluan rafah yang bersempadan dengan Gaza merupakan satu-satunya jalan keluar dan masuk ke kawasan yang tidak dikawal Israel.
Namun, Abdel Fattah menegaskan negara itu akan memastikan semua keperluan akan dihantar segera ke Gaza bagi memastikan penduduknya mendapat bantuan.
“Walau apa pun yang berlaku, penduduk Gaza perlu mempertahankan tanah air mereka, tempat mereka,” tegasnya.