BANGKOK: Beberapa agensi kerajaan Thailand memberi amaran hujan lebat berterusan akan berlaku di seluruh negara, selain paras laluan air dijangka meningkat sepanjang minggu pertama bulan ini.
Lapor Bangkok Post, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran hujan lebat di bahagian Utara, Timur Laut dan Selatan pada kelmarin dan semalam.
“Bermula Selasa hingga Sabtu ini, hujan lebat akan berlaku di bahagian bawah Timur Luat, Dataran Tengah, Timur dan Selatan,” jelas laporan.
Dalam pada itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memberi amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran laluan air di 11 wilayah di lembangan Sungai Chao Phraya.
Jelas jabatan itu, paras laluan air berkenaan boleh meningkat bermula semalam.
Amaran itu dikeluarkan bagi penduduk yang tinggal di Ang Thong, Ayutthaya, Bangkok, Chai Nat, Lop Buri, Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Sing Buri, Suphan Buri dan Uthai Thani.
Paras air mungkin naik sebanyak 1 hingga 1.5 meter di bahagian rendah di Ang Thong dan Ayutthaya.
Tambah jabatan itu, air banjir mengalir dari Utara dan hujan lebat dijangka berlaku di Timur Laut, Dataran Tengah dan Selatan pada minggu ini.
Kelmarin, air Sungai Yom melimpah menerusi benteng yang pecah, ke daerah Muang di wilayah utara Sukhothai, mengakibatkan kira-kira 1,300 isi rumah dan 2,400 pemilik tanah ladang terjejas.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somsak Thepsutin berkata, Sukhothai akan dilanda air deras dari wilayah Phrae dan kawasan dilanda banjir di Sukhothai mungkin meningkat.
Sementara itu, banjir di daerah Lom Sak di wilayah Phetchabun dan di Utara semakin surut sejak kelmarin.
Gabenor Phetchabun, Krit Kongmuang berkata, takungan tempatan berada pada kapasiti 80 hingga 90 peratus penuh.