PETALING JAYA: Serangan rejim zionis di penempatan orang awam dekat Khan Younis, Semenanjung Gaza semakin menggila dalam tempoh 48 jam lalu apabila tentera Israel turut menyasarkan kediaman-kediaman berhampiran Hospital Nasser.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang masih terkandas di Khan Younis berkata, setakat ini beliau dan keluarga suaminya masih selamat walaupun Israel meningkatkan operasi pengeboman di kawasan tersebut.
Menurutnya, bedilan roket dan bom dilancarkan Israel tidak mengira masa mencetuskan kebimbangan terhadap mereka sekeluarga.
“Kebelakangan ini serangan sangat teruk di Khan Younis dan mereka (zionis) sasarkan kediaman orang awam dan baru semalam (kelmarin) mereka bedil kawasan berhampiran Hospital Nasser.
“Alhamdulillah buat masa ini kami masih lagi selamat dan saya juga amat berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Mesir kerana tiap-tiap hari pegawai di sana akan menghubungi untuk mengikuti perkembangan dan memastikan keselamatan saya,” katanya menerusi pesanan audio di WhatsApp.
ROSAK
Nurul Ain sebelum ini tidak dapat dihubungi disebabkan telefon bimbitnya rosak akibat terjatuh namun Utusan Malaysia berjaya menghubungi beliau melalui telefon bimbit suaminya.
Nurul Ain berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan Shaat, 33, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.
Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan pernikahan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.
Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, serangan bertali arus rejim zionis terhadap Khan Younis membimbangkan kerana jumlah penduduk di kawasan tersebut semakin meningkat.
Menurutnya, jumlah penduduk di Khan Younis sebelum ini hanyalah sekitar 500,000 orang namun meningkat kepada 1.7 juta orang berikutan 1.2 penduduk di kawasan lain mencari perlindungan di daerah tersebut.
“Perkembangan terbaharu ini amat membimbangkan kerana kepadatan penduduk di Khan Younis meningkat sejak saban hari sejak hari pertama serangan dilancarkan rejim zionis. Sekiranya serangan diteruskan, angka kematian dan kecederaan akan terus meningkat.
“Keadaan di Gaza secara keseluruhannya semakin teruk, bahkan tiada satu titik pun di bumi itu terselamat daripada serangan rejim zionis setakat ini,” katanya. – UTUSAN










