Bekas PM Nawaz Sharif dijadualkan kembali ke Pakistan hari ini - Utusan Malaysia

Bekas PM Nawaz Sharif dijadualkan kembali ke Pakistan hari ini

NAWAZ SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Perdana Menteri yang tiga kali mentadbir Pakistan, Nawaz Sharif dijadualkan kembali ke tanah air hari ini, selepas empat tahun memilih hidup dalam buangan di London untuk memulakan kempen partinya tiga bulan sebelum pilihan raya umum dijalankan.

Ahli politik veteran berusia 73 tahun itu akan mengetuai perhimpunan di bandar kelahirannya di timur Lahore selepas terbang dari Dubai dengan pesawat sewa khas yang membawa kira-kira 194 orang dari parti dan organisasi medianya, kata parti itu dan sumber.

Sharif tidak menjejakkan kaki ke Pakistan sejak beliau berlepas ke London pada 2019 untuk menerima rawatan perubatan ketika menjalani hukuman penjara 14 tahun kerana rasuah.

Tempoh hukumannya masih berbaki, tetapi mahkamah pada Khamis lalu menghalang pihak berkuasa daripada menangkapnya sehingga Selasa, apabila beliau akan hadir ke mahkamah.

Walaupun beliau tidak boleh bertanding semula untuk pilihan raya atau memegang jawatan awam kerana sabitan kesalahannya, pasukan undang-undangnya berkata beliau merancang untuk mengemukakan rayuan sementara partinya memaklumkan Sharif berhasrat untuk menjadi perdana menteri buat kali keempat.

Cabaran terbesar Sharif adalah untuk merebut kembali pangkalan sokongannya daripada pesaing utamanya, Imran Khan, yang walaupun berada dalam penjara tetap popular selepas penyingkirannya daripada jawatan perdana menteri pada 2022.

Imran juga, hilang kelayakan daripada pilihan raya berdasarkan sabitan rasuah pada Ogos, namun beliau dilaporkan sudah mengemukakan rayuan.

Kepulangan Sharif berlaku ketika negara Asia Selatan bersenjata nuklear dengan 241 juta penduduk itu mengalami kesan krisis ekonomi terburuk, yang diburukkan lagi semasa pemerintahan 16 bulan adiknya, Shehbaz Sharif, yang mengetuai kerajaan campuran selepas penyingkiran Khan.

Sharif sebelum ini mempunyai rekod positif terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Apabila beliau disingkirkan sebagai perdana menteri pada 2017, kadar pertumbuhan KDNK Pakistan adalah 5.8 peratus dan inflasi berlegar sekitar hanya 4 peratus.

Namun, sehingga bulan lalu, kadar inflasi direkodkan lebih 31 peratus dari tahun ke tahun dan pertumbuhan dijangka kurang daripada 2 peratus bagi tahun kewangan ini.

Kenaikan kos sara hidup tidak tertanggung bagi kebanyakan rakyat Pakistan selepas kerajaan campuran Sharif yang baharu terpaksa bersetuju dengan pelarasan fiskal yang tinggi untuk menyambung semula pembiayaan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang sebelum ini menggantung pembayaran selepas Khan membatalkan perjanjian pada hari-hari terakhirnya memegang jawatan.

Sharif berkata, beliau digulingkan daripada kerajaan atas arahan tentera yang berkuasa selepas beliau bertelagah dengan jeneral tertinggi, yang memainkan peranan besar dalam politik Pakistan.

Beliau berkata, tentera kemudian menyokong Imran pada pilihan raya umum 2018, yang dakwaan itu dinafikan Imran dan tentera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya