Kerala 'lockdown' akibat penularan virus Nipah

Kerala ‘lockdown’ akibat penularan virus Nipah

KAKITANGAN kesihatan lengkap dengan peralatan pelindung memindahkan kontak rapat virus Nipah ke pusat pengasingan di hospital kerajaan di Kozikode, di Kerala, India.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India mengekang perhimpunan awam dan menutup beberapa sekolah di Kerala selepas dua orang dilaporkan maut akibat jangkitan virus Nipah.

Menurut pegawai kesihatan, tiga lagi disahkan positif dan sekitar 789 orang termasuk 153 kakitangan kesihatan yang bersentuhan dengan individu dijangkiti sedang dalam pemerhatian.

Jabatan Kesihatan Negeri turut mengeluarkan ‘peta laluan’ dua mangsa yang meninggal dunia dan memperincikan sejarah perjalanan mereka dari hari pertama mereka mengalami gejala.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George sebelum ini memberitahu media di Thiruvananthapuram bahawa kes-kes itu tergolong dalam strain dari Bangladesh yang kurang menular, tetapi mempunyai kadar kematian yang tinggi sehingga 70 peratus.

Beliau berkata, makmal mudah alih akan ditubuhkan untuk mempercepatkan ujian makmal sampel yang dikutip daripada pesakit yang disyaki.

Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) juga dijangka menyediakan antibodi monoklonal untuk rawatan pesakit yang dijangkiti.

TIADA VAKSIN

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) virus berbahaya itu tidak mempunyai vaksin namun mempunyai kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.

Gejala termasuk demam panas, muntah dan jangkitan pernafasan tetapi kes yang lebih teruk melibatkan sawan, ensefalitis, keradangan otak, malah boleh mengakibatkan koma.

Menurut WHO, pada mulanya virus itu ditularkan daripada haiwan seperti kelawar buah atau babi namun kini boleh disebarkan dalam kalangan manusia.

“Tempoh inkubasi masa daripada hari pertama jangkitan hingga timbulnya gejala berkisar antara empat hingga 14 hari, tetapi boleh mencapai 45 hari,” jelas badan itu.

Pada tahun 2018, sekurang-kurangnya 17 orang meninggal dunia selepas dijangkiti virus itu di Kerala.

Virus ini mula dikenal pasti pada 1998 selepas ia merebak dalam kalangan penternak babi di Malaysia.

Di India, wabak Nipah pertama dilaporkan di negeri Bengal Barat pada tahun 2001.

WHO menyenaraikan Nipah sebagai salah satu penyakit keutamaannya yang menimbulkan risiko kesihatan awam yang paling besar disebabkan potensi menjadi epidemik dan isu tindakan balas yang tidak mencukupi.

CARA PENCEGAHAN

Berdasarkan pengalaman serta maklumat daripada kes penularan sebelum ini, pembersihan dan pembasmian kuman di ladang babi secara rutin dan menyeluruh dengan detergen yang sesuai berkesan dalam mencegah jangkitan.

Jika wabak disyaki menjangkiti haiwan di kandang-kandang atau ladang, premis itu perlu dikuarantin dengan segera.

WHO mencadangkan “pemusnahan haiwan yang dijangkiti dengan pengawasan rapi pengebumian atau pembakaran bangkai bagi mengurangkan risiko penularan kepada manusia.

“Akibat ketiadaan vaksin khusus NiV, kesedaran tentang faktor risiko dan usaha mendidik tentang langkah berjaga-jaga yang betul adalah satu-satunya cara mengurangkan atau mencegah jangkitan antara manusia, sebagai tambahan kepada langkah keselamatan penyakit standard.

“Risiko penularan antarabangsa melalui produk buah-buahan yang tercemar dengan cecair daripada kelawar buah yang dijangkiti virus berkenaan boleh dielakkan dengan mencuci bersih dan mengupasnya sebelum dimakan.

“Buah yang mempunyai tanda-tanda gigitan kelawar hendaklah dibuang,” jelas WHO.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya