Hubungan Israel-Arab Saudi: Palestin tidak boleh ada kuasa veto

Hubungan Israel-Arab Saudi: Palestin tidak boleh ada kuasa veto

BENJAMIN Netanyahu menunjukkan peta menampilkan Asia Barat dengan Israel dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan Palestin tidak seharusnya menjadi kuasa veto dalam menentukan sama ada Arab Saudi dan Israel boleh menjalin diplomasi atau tidak.     

Ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, Netanyahu turut memuji prospek normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel, dengan menekankan peranan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi perantara antara kedua-dua pihak.

Lapor Al Jazeera, Netanyahu menggariskan visi keamanannya di Asia Barat, yang mana negara-negara Arab akan menerima Israel tanpa mengambil kira isu Palestin.

“Saya sudah lama berusaha untuk berdamai dengan penduduk Palestin. 

“Namun, saya juga percaya kita tidak seharusnya memberi kuasa veto kepada Palestin berhubung perjanjian damai baharu dengan negara-negara Arab.

“Penduduk Palestin boleh meraih manfaat besar hasil keamanan itu. Mereka boleh menjadi sebahagian proses itu tetapi tidak harus ada kuasa veto dalam proses tersebut,” katanya.     

Beberapa negara Arab mengiktiraf Israel sejak penubuhannya pada 1948 namun pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump membantu menggalakkan perjanjian untuk menjalin hubungan antara Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi pada 2020.

Sudan juga bersetuju menyertai perjanjian normalisasi yang secara rasmi dikenali sebagai Perjanjian Abraham.

Sebelum ini, sebahagian besar wilayah itu menetapkan pengiktirafan Israel untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota sepertimana dinyatakan dalam Inisiatif Keamanan Arab.

Pelan itu juga menggesa suatu penyelesaian yang adil kepada nasib pelarian Palestin. 

PETA ASIA BARAT TANPA PALESTIN  

Di sebalik dakwaannya cuba untuk berdamai dengan penduduk Palestin, Netanyahu dilihat memegang dua peta menampilkan Asia Barat dengan Israel yang dipaparkan dalam warna biru.   

Kedua-dua peta itu menunjukkan wilayah Palestin yang diduduki iaitu Tebing Barat dan Gaza serta Bukit Golan sebagai sebahagian Israel.

Netanyahu menggunakan peta tersebut untuk menekankan hubungan Israel yang semakin meningkat dengan negara-negara Arab yang berjiran.

Pemimpin itu menggambarkan Israel kononnya sebagai memberi penekanan kepada kedamaian, dengan menegaskan `penduduk Palestin harus berhenti menyemai kebencian terhadap Yahudi dan perlu berdamai dengan Israel’.

Ucapan pemimpin Israel itu disambut baik oleh Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir.     

Sementara itu, Netanyahu ketika berucap juga mengutuk kerajaan Iran dan menggesa komuniti dunia mengambil pendirian lebih tegas terhadap Teheran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN