Aktivis tuntut reformasi monarki Thailand, dijel empat tahun

Aktivis tuntut reformasi monarki Thailand, dijel empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seorang aktivis yang terkenal dengan kelantangannya menuntut reformasi monarki Thailand, dikenakan hukuman penjara selama empat tahun atas kesalahan menghina institusi diraja.

Ia merupakan antara kes lese-majeste yang berprofil tinggi di negara itu.

Arnon Nampa yang juga merupakan peguam hak asasi, sebelum ini lantang dengan ucapannya yang melanggar undang-undang semasa protes pro-demokrasi pada 2020.

Ketika itu, beliau menggesa perdebatan umum mengenai peranan raja di Thailand.

Bagaimanapun, Arnon mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Undang-undang lese-majeste melindungi institusi diraja daripada kritikan, dengan sebarang kesalahan dilakukan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 15 tahun bagi setiap kesalahan menghina monarki.

Bagaimanapun, hukuman itu dikecam secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang menyifatkannya sebagai tindakan ekstrem.

Sementara itu, peguam Krisadang Nutcharus berkata, pihaknya cuba mendapatkan ikat jamin bagi Arnon.

Katanya, pasukan peguamnya akan membuat rayuan dan sekiranya perlu membawa kes itu ke Mahkamah Agung.

Keputusan itu adalah yang pertama daripada 14 kes lese majeste terhadap Arnon.

Ratusan orang pernah didakwa di bawah Perkara 112, undang-undang paling tegas di dunia itu.

Arnon merupakan pemimpin dalam gerakan prodemokrasi yang dipimpin belia dengan protes di Bangkok pada 2020, menarik ratusan ribu orang di jalanan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN