JAKARTA: Kementerian Perhubungan Indonesia mengajak masyarakat supaya menggunakan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pencemaran udara di Jakarta selepas dinobatkan sebagai bandar paling tercemar di dunia.
Menterinya, Budi Karya Sumadi berkata, kenderaan yang menggunakan bahan api fosil menyumbangkan sebanyak 50 peratus terhadap pencemaran udara yang berlaku di Jakarta.
“Keadaan itu semakin teruk selepas masyarakat dibenarkan beraktiviti pada skala penuh selepas pandemik Covid-19 berakhir.
“Sehubungan itu, kementerian mahu mengajak semua masyarakat di Jakarta supaya beralih menggunakan kenderaan elektrik,” katanya.
Pada masa sama, Pengerusi Persatuan Industri Motosikal Elektrik Indonesia, Budi Setiadi berkata, penggunaan kenderaan elektrik di Indonesia semakin berkembang.
Jelas beliau, pihaknya sentiasa menyokong dan menggalakkan mana-mana pihak, terutamanya pemain industri kenderaan elektrik supaya meningkatkan produksi mengikut kapasiti diperlukan.
“Program bantuan untuk memperkasakan penggunaan elektrik di negara ini terbuka untuk semua masyarakat.
“Selain itu, masyarakat juga diberi pendidikan mengenai kebaikan penggunaan elektrik dalam menjaga kelestarian alam sekitar,’ ujarnya.
Dalam pada itu, Kementerian Perhubungan juga berharap ekosistem kenderaan elektrik dapat terus dibangunkan sehingga kualiti sektor itu semakin baik dengan harga mampu milik.
“Menerusi pembangunan industri nikel di negara ini, sektor kenderaan elektrik pasti menjadi lebih positif dan harga mampu milik,” jelas Budi Karya.