TRIPOLI: Perdana Menteri Libya Abdul Hamid Dbeibah menggantung jawatan menteri luarnya selepas beliau bertemu secara tidak rasmi dengan rakan sejawatannya dari Israel.
Libya tidak mengiktiraf Israel kerana Tripoli menyokong perjuangan Palestin dan pertemuan itu mencetuskan protes rakyat.
Lapor BBC, Menteri Luar Israel, Eli Cohen mengumumkan pertemuannya dengan Menteri Luar Libya, Najla al-Mangoush dan menyifatkannya langkah pertama yang bersejarah dalam menjalinkan hubungan dengan negara itu.
Dalam kenyataannya semalam, Cohen mendakwa bertemu Najla minggu lalu di luar sidang kemuncak di Rom dan mereka membincangkan potensi besar untuk hubungan antara Israel dan Libya.
Beliau berkata, mereka bercakap mengenai bantuan Israel dalam isu kemanusiaan, pertanian, pengurusan air dan kepentingan memelihara warisan Yahudi di Libya termasuk mengubah suai rumah ibadat dan tanah perkuburan.
Berikutan kenyataan itu, Pejabat Speaker Parlimen menuduh Najla melakukan pengkhianatan besar kerana menormalisasikan hubungan dengan Israel adalah tindakan yang menyalahi undang-undang di Libya dan Abdul Hamid segera mengarahkan beliau disiasat.
Kementerian Luar Libya kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Cohen dan berkata, Najla menolak pertemuan dengan wakil dari Israel dan apa yang berlaku adalah pertemuan santai yang tidak dirancang semasa mesyuarat di kementerian hal ehwal luar Itali.
Kenyataan itu menjelaskan interaksi berkenaan tidak melibatkan sebarang perbincangan, perjanjian atau perundingan dan kementerian itu menolak sepenuhnya normalisasi dengan Israel.
Protes meletus di ibu negara Tripoli dan beberapa bandar lain berikutan berita pertemuan itu dengan jalan raya disekat, tayar dibakar dan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin.










