Langkah WFH tidak kurangkan kesesakan trafik di Jakarta

Langkah WFH tidak kurangkan kesesakan trafik di Jakarta

BIARPUN penjawat awam di Jakarta diarahkan bekerja dari rumah, kesesakan trafik di bandar raya itu masih berlaku ekoran pergerakan masyarakat yang tinggi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono menyatakan pentadbiran wilayah ini tidak boleh disalahkan ekoran kesesakan trafik yang masih berlaku biarpun sebahagian penjawat awam diarahkan bekerja dari rumah atau work from home (WFH).

Terdahulu, Heru mengarahkan semua penjawat awam di Jakarta supaya bekerja dari rumah sejak Isnin lalu bagi mengatasi masalah pencemaran udara yang semakin kronik.

“Jangan salahkan pentadbiran jika masih berlaku kesesakan trafik di sekitar Jakarta kerana kami sudah pun mengambil langkah yang sewajarnya.

“Lagi pun, jumlah penjawat awam di Jakarta tidak boleh dibandingkan dengan populasi di bandar raya ini.

“Penjawat awam berjumlah 25,000 manakala pergerakan warga Jakarta pula dianggarkan sebanyak 25 juta, jadi sudah tentu masalah kesesakan trafik masih berlaku,” katanya.

Selain itu, Heru juga memberitahu, pihak berkuasa Jakarta akan memantau penjawat awam yang bekerja dari rumah supaya tidak melakukan aktiviti semasa waktu bekerja.

“Saya akan arahkan pihak berkuasa supaya memantau semua penjawat awam yang bekerja dari rumah agar mereka tidak mencuri tulang semasa waktu kerja.

“Ketua jabatan masing-masing perlu ambil perhatian dan jangan leka mengenai pekerja mereka sewaktu bekerja.

“Ketua masing-masing boleh melakukan panggilan video untuk melihat sama ada pekerjanya ada di rumah atau di tempat lain,” ujarnya.

Langkah bekerja dari rumah itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan pencemaran udara, malah bagi mengurangkan kesesakan trafik menjelang Persidangan ASEAN pada 5 hingga 7 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN