JAKARTA: Kerajaan pimpinan Joko Widodo (Jokowi) yakin dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara ini menerusi rancangan belanjawan bernilai AS$216.24 bilion (RM1 trilion) bagi tahun 2024.
Jokowi menyampaikan ucapan belanjawan itu di Parlimen kelmarin ketika pentadbirannya bakal memasuki fasa terakhir pada tahun depan.
Jokowi menyatakan, belanjawan tersebut mampu ‘membimbing ekonomi menghadapi cabaran global dan memastikan harga makanan stabil’.
Usul belanjawan itu enam peratus lebih tinggi berbanding bajet tahun ini selain menjangkakan negara ini merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada tahun depan.
Jelas Jokowi, beliau menyasarkan defisit bajet 2024 berada pada 2.29 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu tidak jauh beza dengan defisit tahun ini yang sebanyak 2.28 peratus.
“Belanjawan 2024 mestilah mampu bertindak balas terhadap ekonomi yang dinamik, berdepan dengan pelbagai cabaran dan menyokong secara optimum agenda pembangunan serta kebajikan negara,” katanya.
Namun, beberapa pakar ekonomi menyifatkan anggaran belanjawan yang diusulkan oleh Jokowi itu terlalu optimistik apabila pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal lemah pada tahun depan.
Dalam pada itu, Jokowi tidak menawarkan dasar fiskal khusus untuk 2024, tetapi beliau menekankan kepentingan keselamatan makanan dan tenaga serta membina industri pertahanan yang kompetitif.
Pemimpin itu juga mementingkan kestabilan harga makanan, meningkatkan keluaran pertanian dan terus memperkasakan program penghasilan makanan negara.
Selain itu, Jokowi turut menyatakan sebahagian daripada belanjawan tersebut juga akan digunakan untuk pembangunan Nusantara sebagai ibu negara baharu Indonesia.
Jokowi sebelum ini merancang untuk memindahkan sebahagian daripada penjawat awam, termasuk polis dan tentera di Jakarta ke Nusantara bermula tahun depan. – REUTERS