MASA depan MIC dalam landskap politik negara ketika ini dilihat semakin kabur dan penuh tanda tanya.
Perjalanan parti itu kebelakangan ini seolah-olah tidak mempunyai hala tuju yang jelas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar kepimpinannya.
Peribahasa “seperti lalang ditiup angin” mungkin dilihat sesuai untuk menggambarkan keadaan MIC yang dilihat berubah-ubah dalam menentukan arah politik mereka.
Pada tahun lalu, parti itu dilaporkan berhasrat meninggalkan Barisan Nasional (BN) susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan dan peranan mereka dalam gabungan tersebut.
Namun dalam masa sama, MIC dilihat membuka langkah untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Persoalannya, apakah sebenarnya yang diinginkan oleh MIC? Adakah parti itu masih relevan dalam arus politik semasa? Atau sekadar mencari ruang terbaik untuk terus bertahan dalam landskap politik yang semakin mencabar?
Hakikatnya, sehingga kini tiada keputusan muktamad dibuat oleh kepimpinan MIC walaupun pelbagai kenyataan telah dikeluarkan sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa parti tersebut masih teragak-agak dalam menentukan haluan.

Pada hujung tahun lalu, Presiden MIC, S. A. Vigneswaran sendiri menyatakan hasrat untuk menyertai PN.
Ia selepas perwakilan parti itu sebulat suara menyokong resolusi untuk menamatkan kerjasama dengan BN.
Resolusi itu dicapai dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-79 yang dihadiri lebih 1,800 perwakilan. Namun, keputusan muktamad tetap diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti.
Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tiada paksaan untuk mana-mana parti kekal dalam gabungan tersebut.
Menurut beliau, MIC bebas membuat keputusan sama ada untuk kekal atau keluar daripada BN.
Kenyataan itu secara tidak langsung memberi ruang kepada MIC untuk menentukan haluan sendiri tanpa tekanan.
Pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, permohonan kemasukan MIC sudah diluluskan menerusi mesyuarat pada 14 Mac lalu menjadikan gabungan itu kini dianggotai lima parti.
Namun selepas diterima PN, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan pula menolak dakwaan tersebut, sebaliknya menyatakan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PN tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya MIC memutuskan untuk membatalkan hasrat menyertai gabungan itu.
Beliau berkata, PN sebelum ini pada prinsipnya telah menerima hasrat MIC untuk menyertai gabungan berkenaan sebagaimana dimaklumkan dalam mesyuarat akhir tahun lalu yang dipengerusikan kepimpinan tertinggi PN.
“Kita menerima hasrat MIC melalui presiden parti mereka, kita menerima secara prinsip penyataan hasrat tersebut. Ini telah dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat PN akhir tahun lalu.
“Namun, PN tiada masalah sekiranya mereka (MIC) membatalkan hasrat tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, PN turut bersedia membuka pintu kepada mana-mana parti lain yang berminat untuk menyertai gabungan tersebut, namun sebarang keputusan akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.
“Kita akan menunggu permohonan rasmi daripada pihak berkaitan, termasuk parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini PN memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti komponen sedia ada sebelum mempertimbangkan sebarang kemasukan baharu.
“Mesyuarat sebelum ini turut membincangkan beberapa permohonan daripada parti lain dan perkara itu akan dibincangkan semula apabila tiba masanya,” katanya.
Menurut penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, tiada manfaat jelas sekiranya MIC menyertai PN.
Katanya, PN lebih cenderung membawa naratif Melayu-Islam berbanding gabungan lain seperti Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), sekali gus menyukarkan parti berasaskan bukan Melayu untuk mendapat sokongan.
“Golongan bukan Melayu, termasuk pengundi India, dilihat kurang cenderung menyokong PN. Malah, jika MIC bersama PN, ia tidak semestinya meningkatkan sokongan masyarakat India,” katanya.
Beliau berkata, Parti Gerakan bersifat pelbagai kaum, namun masih gagal menyerlah dalam PN dan tidak mencapai kemenangan memberangsangkan dalam pilihan raya.
“Jika parti seperti Gerakan pun sukar bertahan dalam PN, apatah lagi MIC,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan sekiranya MIC meninggalkan BN untuk menyertai PN, langkah tersebut berpotensi memberi kesan negatif kepada parti berkenaan.
Beliau berkata, ini kerana MIC selama ini banyak bergantung kepada sokongan pengundi UMNO di kawasan tertentu untuk meraih kemenangan.
“Persoalannya, kerusi mana yang sesuai untuk MIC tandingi dalam PN? Jika bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, peluang untuk menang adalah tipis,” katanya.
Tambah beliau, MIC sebenarnya mempunyai peluang lebih baik sekiranya kekal bersama BN, meskipun wujud dakwaan parti itu dipinggirkan dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, situasi tersebut perlu dilihat dalam konteks prestasi semasa BN yang tidak lagi sekuat dahulu.
“BN kini hanya memenangi sekitar 30 kerusi Parlimen, dan MIC sendiri hanya memiliki satu kerusi. Jadi, tidak timbul soal BN mengabaikan MIC secara mutlak, sebaliknya ia mencerminkan realiti kekuatan semasa gabungan itu,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam PN, kerusi majoriti Melayu berkemungkinan besar akan dikuasai parti seperti Pas dan Bersatu, sekali gus menyukarkan MIC untuk mendapatkan kerusi yang berpotensi menang. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










