MINSK: Ketika situasi di Russia kembali normal selepas pemberontakan bersenjata oleh kumpulan tentera Wagner, ketegangan dilaporkan semakin meningkat di dalam dan sekitar negara jiran, Belarus.
Ia berikutan ketua kumpulan tentera upahan itu, Yevgeny Prigozhin bersama beberapa anggota tenteranya kini sudah berpindah ke Belarus.
Sebelum ini, Prigozhin bersama tenteranya berundur dari ibu pejabat tentera di bandar selatan Rostov-on-Don selepas menerima cadangan diutarakan oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.
Di bawah perjanjian itu, kes jenayah dikenakan terhadap Prigozhin kerana melakukan pemberontakan akan digugurkan serta beliau akan berpindah ke Belarus.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan daripada pembangkang Belarus dan aktivis gerila yang menyifatkan kumpulan tentera Wagner sebagai `ancaman kepada rakyat dan negara’.
Malah, pihak berkenaan juga berjanji untuk mengambil tindakan tegas.
“Kami menentang sekeras-kerasnya penempatan tentera upahan Russia di negara ini. Malah, kami juga bercadang untuk mengambil tindakan terhadap pasukan Wagner di Belarus,” kata ketua kumpulan gerila BYPOL, Aliaksandr Azarau.
Sementara itu, negara-negara Baltik berhampiran Belarus turut menyuarakan kebimbangan mengenai kehadiran kumpulan tentera Wagner yang boleh menjejaskan keselamatan serantau.
Dalam satu kenyataan bersama, speaker Parlimen dari Estonia, Latvia dan Lithuania menggesa Kesatuan Eropah (EU) menyenaraikan pasukan tentera Wagner sebagai kumpulan pengganas.
“Kehadiran kumpulan tentera Wagner di Belarus boleh menyebabkan keadaan keselamatan di sempadan Timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan EU menjadi tidak menentu,” jelas kenyataan itu. – AP