BOGOR: Seorang lelaki dipercayai dukun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam ritual maut di sebuah tasik di Bogor sehingga mengorbankan tiga mangsa.
Suspek yang dikenali sebagai AN, berusia 51 tahun didakwa bertanggungjawab melakukan ritual perubatan yang tidak diiktiraf di Danau Quarry pada Khamis lalu.
Menurut polis, suspek didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian.
Kes bermula apabila sepasang suami isteri membawa anak mereka yang sudah lama menderita gangguan jiwa berjumpa dengan suspek untuk berubat kaedah alternatif.
Bagi melakukan rawatan, suspek meminta anak pasangan itu dimandikan di tasik berkenaan.
“Pada pukul 11 malam, pasangan suami isteri itu membawa anak mereka ke tasik bersama suspek dan dua pembantunya.
“Berdasarkan keterangan keluarga mangsa, suspek membaca jampi serapah diselangi dengan selawat dan bacaan ayat al-Quran sambil membakar kemenyan.
“Selepas itu, suspek mengarahkan mangsa direndam dalam tasik sebelum mangsa tiba-tiba tenggelam,” kata Ketua Polis Bogor, Rio Wahyu Anggoro.
Susulan itu, dua pembantu suspek cuba mencari mangsa sebelum mereka juga tenggelam dan ketiga-tiga mayat mereka ditemukan 16 jam kemudian.










