Serangan tentera Zionis di Jenin adalah jenayah perang -PBB - Utusan Malaysia

Serangan tentera Zionis di Jenin adalah jenayah perang -PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan serangan Israel terhadap kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang membunuh sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak sebagai jenayah perang.

Dalam serbuan dua hari sejak Isnin lalu, rumah, bangunan pangsapuri dan infrastruktur lain dikesan rosak dengan lebih 4,000 rakyat Palestin terpaksa melarikan diri.

Pelapor khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah yang diduduki sejak 1967, Francesca Albanese dan pelapor khas mengenai hak asasi manusia pelarian dalam negara, Paula Betancur, berkata tindakan Israel adalah ‘perlanggaran besar undang-undang antarabangsa dan piawaian penggunaan kekerasan’ serta mungkin juga jenayah perang.

“Serangan itu adalah yang paling ganas di Tebing Barat sejak kemusnahan kem Jenin pada 2002,” katanya.

Albanese dan Betancur turut mendedahkan, kakitangan ambulans turut tidak dibenarkan memasuki ke kem pelarian, sekali gus menghalang mangsa yang cedera menerima bantuan perubatan.

“Sungguh menyayat hati melihat ribuan pelarian Palestin yang asalnya dipindahkan sejak 1947 hingga 1949 dan terpaksa keluar dari kem dalam keadaan ketakutan pada waktu malam,” kata mereka.

Pelapor khas adalah sebahagian daripada prosedur khas Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan mereka terdiri pakar bebas yang bekerja secara sukarela, bukan anggota kakitangan PBB, malah tidak dibayar.

Albanese dan Betancur turut mengecam operasi ‘melawan keganasan’ yang didakwa Israel dan berkata, ketika ini tidak ada justifikasi untuk rejim zionis itu bertindak sedemikian di bawah undang-undang antarabangsa.

“Serangan itu adalah hukuman kolektif terhadap penduduk Palestin yang dilabelkan sebagai ‘ancaman keselamatan kolektif’ pada pandangan pihak berkuasa Israel,” kata mereka.

Mereka turut menyatakan ‘kebimbangan tinggi’ mengenai senjata dan taktik yang digunakan sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh dua minggu lalu oleh tentera Israel terhadap penduduk Jenin.

“Rakyat Palestin di wilayah yang diduduki adalah orang yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, dijamin hak asasi manusia, termasuk anggapan tidak bersalah.

“Mereka tidak boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan secara kolektif oleh penjajah, lebih-lebih lagi ketika mereka mahu meluaskan tanah Palestin yang diduduki, pemindahan dan merampas tempat penduduk Palestin,” kata Albanese dan Betancur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN