PARIS: Pihak berkuasa Perancis mengerahkan 45,000 anggota keselamatan dilengkapi dengan kenderaan perisai ringan untuk menangani protes ganas yang sudah memasuki empat hari berturut-turut selepas kejadian polis menembak mati seorang remaja.
Polis bersama anggota keselamatan lain dibahagikan kepada beberapa unit pasukan dan dikerahkan ke seluruh negara untuk menghentikan rusuhan tercetus akibat tindakan seorang polis menembak mati Nahel, 17, ketika pemeriksaan trafik di pinggir bandar Paris Selasa lalu.
Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin memaklumkan 45,000 anggota keselamatan dikerahkan itu antara lain turut merangkumi pasukan separa tentera gendarmes.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding 40,000 polis yang dikerahkan sebelum ini untuk menjaga keamanan selepas rusuhan dijangka berterusan.
Di sebalik kehadiran pasukan keselamatan, rompakan dilaporkan berlaku di bandar Lyon, Marseille dan Grenoble, dengan kumpulan perusuh kebanyakannya bertopeng turut merompak kedai selain membakar kereta dan tong sampah.
Polis menggunakan gas pemedih mata di bandar selatan Marseille selepas penunjuk perasaan melemparkan objek ke arah kenderaan polis di daerah Vieux-Port.
Berdasarkan data kerajaan, sekurang-kurangnya 492 bangunan rosak dan 2,000 kenderaan dibakar dalam rusuhan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Elisabeth Borne juga mengarahkan pembatalkan acara berskala besar seperti konsert di seluruh negara.
Dilaporkan, perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan trem dihentikan, selain penjualan bunga api dan cecair mudah terbakar juga diharamkan susulan protes itu.
Kematian Nahel mencetuskan protes besar-besaran di beberapa pinggir bandar Paris sejak Selasa lalu.
Nahel ditembak ketika dikatakan cuba melarikan diri semasa ditahan polis selepas didakwa melanggar peraturan lalu lintas ketika memandu kereta di pinggir ibu kota Paris.
Meskipun anggota polis yang menembak mangsa sudah memohon maaf kepada keluarga, insiden itu mencetus kemarahan mengenai kepolisan dan profil perkauman.
Presiden Perancis Emmanuel Macron mengecam dan menyifatkannya sebagai `eksploitasi yang tidak boleh diterima terhadap kematian seorang remaja’. – AFP