ROM: Mendiang Silvio Berlusconi meninggalkan harta berjumlah 100 juta euro (RM508.3 juta) kepada pasangannya, Marta Fascina dan mewasiatkan empayar perniagaan Fininvest kepada dua anaknya.
Bekas Perdana Menteri Itali sebanyak tiga kali itu meninggal dunia akibat leukimia bulan lalu pada usia 86 tahun ketika aset syarikat miliknya dianggarkan bernilai lebih 6 bilion euro (RM30.5 bilion).
Berlusconi dilaporkan turut meninggalkan 100 juta euro (RM508.3 juta) kepada abangnya, Paolo, dan menghadiahkan 30 juta euro (RM152 juta) kepada bekas Senator dari parti Forza Itali, Marcello Dell’Utri yang menjalani hukuman penjara kerana hubungan dengan kumpulan mafia.
Fascina, 33, yang juga Timbalan Forza Italia dilaporkan menjalin hubungan dengan Berlusconi pada 2020 dan pasangan itu mengadakan majlis perkahwinan secara simbolik pada Mac tahun lalu, malah mendiang dilaporkan merujuknya sebagai isteri semasa kematiannya.
Menurut butiran wasiat yang didedahkan oleh agensi berita Ansa Rabu lalu, Marina dan Pier Silvio yang merupakan anak Berlusconi dengan isteri pertamanya, Carla Elvira Dall’Oglio memperoleh pegangan gabungan sebanyak 53 peratus dalam Fininvest.
Berlusconi dilaporkan menulis surat wasiatnya dengan tangan dan menandatanganinya pada 2 Oktober tahun lalu, beberapa minggu sebelum Forza Italia kembali dalam kerajaan gabungan yang diketuai oleh parti Brothers of Italy pimpinan Giorgia Meloni.
Marina dilaporkan akan mengetuai Fininvest, manakala Pier Silvio memegang jawatan Timbalan Pengerusi Mediaset yang merupakan syarikat penyiar terbesar di Itali.
Kesemua lima anak Berlusconi dalam satu kenyataan memaklumkan tiada pemegang saham akan melaksanakan kawalan keseluruhan individu secara langsung ke atas empayar Fininvest yang sebelum ini dilaksanakan oleh bapa mereka.
Keluarga Berlusconi juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan kediaman utama Berlusconi, Villa San Martino sebagai sebuah muzium.