JAKARTA: Kampung Literasi mencipta keunikan tersendiri dan kini menjadi antara kawasan tarikan pelancong di tengah-tengah penempatan yang padat penduduk di Desa Klender di Jakarta Timur.
Lokasi menarik yang terletak di celah-celah rumah penduduk di kawasan kejiranan di daerah Duren Sawit itu asalnya dibina untuk menyokong minat membaca dalam kalangan kanak-kanak, belia dan warga emas.
Namun melihat kesukaran penduduk mendapatkan bahan mentah ketika harga semakin meningkat, pihak pengurusan di kejiranan tersebut turut membina kebun sayur hidroponik dan kolam ikan di sepanjang kawasan berkenaan.
Ketua Rukun Tetangga Desa Klender, Yanuar Mahendra menjelaskan, pemasangan kemudahan bercucuk tanam dan menternak ikan di kawasan lorong perumahan itu bermula sekitar akhir tahun lalu yang kini memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat.
“Terdapat pelbagai jenis tumbuhan di Kampung Literasi bermula dari labu air, peria, labu, cili, kangkung, bayam, timun, sawi, Pak Choi, halia, misai kucing, sehinggalah lidah buaya.
“Manakala ikan yang diternak di dalam kolam kami di sini adalah daripada spesies yang mudah menyesuaikan diri dengan mana-mana jenis persekitaran iaitu ikan keli, patin dan tilapia.
“Sayuran dan ikan di kebun bacaan ini boleh dituai dan diagihkan kepada penduduk setempat. Ada juga yang dijual murah untuk dijadikan modal membeli benih baharu,” jelas Yanuar.
Yanuar berkata, penduduk di sekitar kejiranan berkenaan sentiasa bergotong royong menjaga keindahan Kampung Literasi dengan pelbagai hiasan menarik selepas kawasan itu kini sering dikunjungi pelawat dan dijadikan tempat beriadah oleh pelancong tempatan.-AGENSI










