Indonesia berperang dengan masa ketika kereta api berkelajuan tinggi pertama hampiri tarikh pelancaran - Utusan Malaysia

Indonesia berperang dengan masa ketika kereta api berkelajuan tinggi pertama hampiri tarikh pelancaran

PEKERJA menurunkan kepala gerabak kereta api berkelajuan tinggi pertama dari kapal kargo di Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia kini berdepan kebimbangan tentang kelewatan pembinaan dan isu kebolehcapaian kereta api berkelajuan tinggi baharu yang dijadualkan akan dilancarkan bulan hadapan.

Kereta api berkelajuan tinggi pertama di Indonesia dan Asia Tenggara itu merupakan sebahagian daripada projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dari China dan dijadual dilancarkan  bulan depan bersempena Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos.

BERPERANG DENGAN MASA

Konsortium PT KCIC dari Indonesia dan China diberi tanggungjawab membina landasan kereta api berkenaan namun sehingga awal Julai, stesen Padalarang hanya kira-kira 65 peratus siap, walaupun pembinaan tiga stesen lain di sepanjang laluan itu sudah hampir selesai.

“Padalarang hanya 65 peratus siap kerana pada mulanya stesen itu berada di Walini sebelum dipindahkan. Jadi kerja pembinaan dimulakan lewat daripada tiga stesen lain,” kata Setiausaha Korporat PT KCIC, Eva Chairunisa.

Dibiayai oleh Beijing melalui Bank Pembangunan China, projek kereta api berkelajuan tinggi itu bermula pada 2015 dan ditetapkan siap pada 2019, tetapi masalah pengambilan tanah dan pandemik Covid-19 melambatkan usaha pembinaannya.

Dengan jarak sejauh 142 kilometer (km), kereta api laju itu akan menghubungkan Jakarta dengan Bandung dalam tempoh 40 minit melalui empat stesen iaitu Halim, Karawang, Padalarang dan Tegalluar.

Eva berkata, stesen itu tidak akan bersedia sepenuhnya mengikut tarik majlis pelancarannya bagaimanapun, landasan perlu disiapkan apabila tren beroperasi sepenuhnya untuk mengangkut penumpang menjelang Oktober.

“Kami memberi jaminan stesen Halim dan Tegalluar mempunyai kemudahan untuk menampung penumpang semasa majlis pelancaran nanti.

“Bulan depan tren ini belum lagi menjadi perkhidmatan komersil, jadi masih akan ada beberapa kerja penamat di kawasan tertentu,” katanya kepada Channel News Asia.

ISU AKSES DAN PERMIT 

Penganalisis turut menyatakan kebimbangan terhadap beberapa isu lain yang perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa agar projek mega itu berjalan lancar.

Penganalisis Pengangkutan Darmaningtyas berkata, selain menyiapkan pembinaan landasan, pihak berkuasa juga mesti memastikan setiap stesen boleh diakses oleh orang ramai secepat mungkin.

“Pada masa ini, stesen Halim di Jakarta hanya boleh diakses melalui lebuh raya dan lencongan yang panjang diperlukan untuk sampai ke bahagian lain di bandar ini.

“Penumpang yang berhasrat untuk ke Jakarta Selatan dari stesen yang terletak di Jakarta Timur misalnya, mungkin menghabiskan kira-kira 1.5 jam dalam lalu lintas pada waktu puncak. Kira-kira dua kali ganda masa yang diperlukan untuk ke Bandung menggunakan kereta api laju itu,” jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian Channel News Asia, tiga stesen lain di wilayah Jawa Barat juga sukar diakses oleh pengguna.

“Stesen Karawang, misalnya, terletak kira-kira 30 minit dari susur keluar lebuh raya yang tidak dihubungkan dengan pengangkutan awam,” ujarnya.

Timbalan Ketua Jalan Raya dan Rel Persatuan Pengangkutan Indonesia, Deddy Herlambang turut menekankan bahawa kereta api tersebut masih belum diperakui walaupun sudah diuji.

“Setahu saya, kesemua landasan pada masa ini belum diperakui kerana tiada unit di kementerian pengangkutan yang menjaga pensijilan kereta api laju memandangkan ia masih baharu.

“Jadi mereka mengupah perunding bebas untuk mengusahakan pensijilan kerana kami juga tidak mempunyai peraturan mengenai kereta api laju. Oleh itu, mereka akan menggunakan standard antarabangsa,” katanya.

Ketua Pengarah Kereta Api Kementerian Pengangkutan, Risal Wasal berkata, perkhidmatan tersebut akan dikendalikan pemandu berpengalaman dari China sebelum pekerja Indonesia memperoleh kemahiran dan pengetahuan untuk mengendalikan sistem itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya