'Hentikan rusuhan, cucu saya tidak akan kembali'

‘Hentikan rusuhan, cucu saya tidak akan kembali’

PENUNJUK perasaan bertempur dengan polis anti rusuhan di Porte d'Aix di Marseille, Perancis.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Nenek kepada remaja yang ditembak mati anggota polis Perancis minggu lalu menggesa penunjuk perasaan menghentikan bantahan mereka selepas keganasan baharu tercetus di kawasan rumah seorang datuk bandar di pinggir Paris kelmarin.

Kerajaan Presiden, Emmanuel Macron bergelut dengan protes ganas berikutan kematian remaja berketurunan Algeria, Nahel M,17, di pinggir bandar Nanterre ketika pemeriksaan lalu lintas Selasa lalu.

Dalam temu bual telefon dengan saluran televisyen BFM, nenek Nahel, Nadia turut merayu perusuh berhenti menggunakan kematian cucunya sebagai alasan untuk meneruskan keganasan di negara itu yang sudah memasuki hari keenam.

“Saya ingin beritahu kepada mereka yang merusuh ini, tolong jangan pecahkan tingkap, serang sekolah atau bas. Tolong berhenti! Ada ibu yang menaiki bas, ada ibu yang sedang berjalan di luar sana,” katanya.

Anggota polis berusia 38 tahun yang menembak mati Nahel didakwa atas tuduhan membunuh dengan sengaja dan kini ditahan reman.

“Lelaki ini mesti bertanggungjawab, seperti orang lain. Mereka yang merusuh, yang menyerang polis juga mesti dihukum. Saya percaya kepada keadilan,” kata Nadia.

Pembunuhan Nahel menghidupkan kembali tuduhan tentang kewujudan isu perkauman dalam institusi polis Perancis dengan kumpulan hak asasi manusia mendakwa pihak berkuasa memilih golongan minoriti ketika membuat pemeriksaan.

Dalam pada itu, Macron dilaporkan terpaksa menangguhkan lawatannya ke Jerman yang dijadualkan semalam sebaliknya mengadakan mesyuarat bersama barisan menterinya bagi mencari solusi untuk menangani ketegangan yang masih berlarutan.

Beliau turut menggesa golongan ibu bapa bertanggungjawab terhadap perusuh dibawah umur, apabila satu pertiga daripada mereka yang ditahan berusia 17 tahun.

Ahli politik Perancis turut mengutuk serangan ke atas rumah Vincent Jeanbrun, Datuk Bandar L’Hay-les-Roses, Vincent Jeanbrun selepas penyerang merempuh sebuah kereta yang terbakar ke dalam rumahnya, menyebabkan isterinya cedera teruk dan patah kaki.

Pendakwa raya dilaporkan sudah membuka kertas siasatan cubaan membunuh.

Kira-kira 7,000 polis dikerahkan di Paris dan kawasan pinggir bandar termasuk lokasi tumpuan pelancong di sepanjang jalan Champs Elysees berikutan gesaan di media sosial untuk meneruskan rusuhan di tengah ibu negara.

Penganjur perlumbaan berbasikal Tour de France berkata, pihaknya juga sedang meneliti perkembangan di negara itu ketika perlumba bersiap sedia menyeberangi sempadan ke Perancis selepas dua hari berada di bandar Basque di Sepanyol.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN