UNRWA gagal raih dana mencukupi bantu pelarian Palestin

UNRWA gagal raih dana mencukupi bantu pelarian Palestin

LEBIH 700 sekolah dan klinik kesihatan di bawah kelolaan UNRWA mungkin tidak dapat beroperasi sehingga hujung tahun ini jika dana tidak mencukupi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Negara-negara penderma hanya mampu menyumbang dana sebanyak AS$107 juta (RM490 juta) untuk disalurkan kepada pelarian Palestin dan jumlah itu jauh berkurangan daripada nilai yang diperlukan, iaitu AS$300 juta (RM1.4 bilion).

Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, beliau menghargai semua sumbangan yang disalurkan, namun jumlah dana itu masih tidak mencukupi bagi memastikan lebih 700 sekolah dan 140 klinik untuk terus beroperasi sehingga hujung tahun ini.

“Kami akan terus berusaha untuk memastikan jumlah dana tersebut mencukupi bagi keperluan rakyat dan pelarian Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Pada awal tahun ini, UNRWA meminta dana berjumlah AS$1.6 bilion (RM7.3 bilion) bagi membolehkan program bantuannya diteruskan di Syria, Lubnan, Jordan, Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza.

Jumlah dana yang dipohon itu termasuk hampir AS$850 juta (RM3.9 bilion) kos perbelanjaan yang melibatkan sekolah dan klinik kesihatan.

“Selain kami memerlukan dana yang mencukupi bagi memastikan semua keperluan dan bantuan dapat disalurkan sehingga hujung tahun ini, UNRWA juga memerlukan AS$150 juta (RM686 juta) sebagai persediaan menghadapi tahun 2024.

“Jika kami gagal memperoleh dana yang diperlukan, ramai yang akan terkesan, terutamanya kanak-kanak dan golongan warga emas,” ujar Lazzarini.

Dalam pada itu, jurucakap UNRWA di Gaza, Adnan Abu Hasna berkata, agensi itu mengalami masalah kewangan yang serius.

“Hampir separuh juta pelajar di sekolah kami bergantung kepada program bantuan yang disalurkan. Kami menyediakan bekalan makanan kepada hampir 1.2 juta pelarian Palestin.

“Di Gaza, sebarang program yang terjejas boleh menyebabkan kesan yang besar memandangkan golongan pelarian bergantung kepada kami,” jelasnya.

UNRWA dibangunkan pada 1948 selepas rakyat Palestin diusir dari tanah mereka sendiri akibat penaklukan rejim Zionis dan sehingga kini, terdapat 5.9 juta pelarian di Gaza dan Tebing Barat serta beberapa negara jiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya