Russia terima ratusan dron dari Iran - White House - Utusan Malaysia

Russia terima ratusan dron dari Iran – White House

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: White House mendakwa Russia memperkukuhkan kerjasama pertahanannya dengan Iran dan menerima ratusan dron dari negara itu untuk menyerang Ukraine.

Memetik maklumat yang baru didedahkan, Rumah Putih berkata, dron atau ‘Uncrewed Aerial Vehicles’ (UAVs), dibangunkan di Iran dihantar merentasi Laut Caspian dan kemudian digunakan tentera Russia menentang Ukraine.

Menurut jurucakap White House, John Kirby, beliau berkata Russia menggunakan UAV Iran dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menyerang Kyiv dan penduduk Ukraine, dan perkongsian ketenteraan Russia-Iran nampaknya semakin mendalam.

“Kami juga bimbang Russia bekerjasama dengan Iran untuk menghasilkan UAV Iran dari dalam Russia.

“Amerika Syarikat (AS) mempunyai maklumat bahawa Russia menerima bahan daripada Iran yang diperlukan untuk membina kilang pembuatan dron yang boleh beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.

“Kami mengeluarkan imej satelit lokasi yang dirancang bagi kilang pembuatan UAV ini di Zon Ekonomi Khas Alabuga Russia,” katanya dalam satu kenyataan.

AS sebelum ini menyekat Iran di peringkat pengeluar pertahanan berhubung bekalan dron ke Russia, namun Iran menyatakan ia dihantar sebelum pencerobohan pada Februari oleh Russia.

Bagaimanapun Moscow menafikan tenteranya menggunakan dron Iran di Ukraine.

Kirby berkata, kerjasama dua negara itu berlaku dalam kedua-dua arah dengan Iran mencari peralatan ketenteraan bernilai berbilion dolar dari Russia termasuk helikopter dan radar.

“Russia pula menawarkan kerjasama pertahanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk mengenai peluru berpandu, elektronik dan pertahanan udara.

“Ini adalah perkongsian pertahanan berskala penuh yang berbahaya kepada Ukraine, jiran Iran dan kepada masyarakat antarabangsa.

“Kami terus menggunakan semua alat untuk mendedahkan dan mengganggu aktiviti ini termasuk dengan berkongsi perkara ini kepada orang ramai dengan lebih banyak lagi,” katanya.

Kirby berkata, pemindahan dron adalah satu bentuk pelanggaran peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan AS akan berusaha untuk meminta kedua-dua negara bertanggungjawab.

“Amaran yang dikeluarkan AS bertujuan membantu perniagaan dan kerajaan lain lebih memahami risiko yang ditimbulkan oleh program UAV Iran dan amalan haram yang digunakan Iran untuk mendapatkan komponen untuknya,” katanya.

Sementara itu, Britain, Perancis, Jerman, AS dan Ukraine berkata, bekalan dron buatan Iran ke Russia melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB 2015 yang mengabadikan perjanjian nuklear Iran.

Di bawah resolusi PBB 2015, sekatan senjata konvensional ke atas Iran dilaksanakan sehingga Oktober 2020.

Ukraine dan kuasa Barat berhujah bahawa resolusi itu termasuk sekatan ke atas peluru berpandu dan teknologi berkaitan sehingga Oktober 2023 dan boleh merangkumi eksport dan pembelian sistem ketenteraan canggih seperti dron. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya