MOSCOW: Tentera Moscow mendakwa pasukannya berjaya menembak jatuh tiga dron milik Ukraine berhampiran ibu negara Russia.
Russia turut menuduh Kyiv melakukan serangan ganas selepas pegawai mendakwa dron itu menyasarkan sebuah pangkalan tentera di wilayah Moscow.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan.
“Kami berjaya mematahkan cubaan rejim Kyiv melakukan serangan ganas dengan menggunakan tiga pesawat tanpa pemandu (UAV) menyasarkan kemudahan di wilayah Moscow,” jelas kementerian itu.
Tambah kementerian, pesawat peperangan elektronik berjaya menembak jatuh setiap dron berkenaan.
Jelasnya, tiada mana-mana individu cedera dalam serangan itu.
Terdahulu, gabenor wilayah Moscow, Andrei Vorobyov berkata, dua dron terhempas di sekitar stor simpanan di pangkalan tentera, kira-kira 50 kilometer (km) barat daya Moscow.
Serangan itu berlaku ketika Ukraine melancarkan serangan balas untuk menawan semula wilayah dirampas oleh tentera Russia.
Sebelum ini, Ukraine mendakwa sistem pertahanan udara menembak jatuh enam dron serangan buatan Iran yang dilancarkan tentera Russia di wilayah barat Khmelnytskyi.
Serangan itu berlaku sehari selepas pegawai Kyiv mendakwa Russia melancarkan serangan puluhan UAV menyasarkan infrastruktur utama di barat Ukraine. – AFP










