MOSCOW: Satu serangan didakwa dilancarkan oleh Ukraine menyebabkan sebuah jambatan yang menghubungkan Semenanjung Crimea, rosak.
Jambatan itu menghubungkan Semenanjung Crimea ke wilayah selatan Ukraine yang sebahagiannnya diduduki oleh Russia.
Gabenor Crimea yang dilantik Russia, Sergei Aksyonov mengesahkan serangan itu melanda jambatan Chongar pada semalam.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan meninggal dunia,” katanya menerusi aplikasi Telegram.
Jambatan itu menghubungkan Crimea yang dirampas daripada Ukraine pada 2014, ke wilayah Kherson.
Gabenor Kherson yang dilantik Russia, Vladimir Saldo mendakwa tentera Ukraine melancarkan serangan terhadap beberapa jambatan berhampiran Chongar.
Beberapa gambar tular menunjukkan seolah-olah terdapat `lubang’ (kerosakan) pada jambatan tersebut.
Serangan itu berlaku ketika Ukraine melancarkan serangan balas untuk menawan semula wilayah yang diduduki tentera Russia.
Crimea kerap menjadi sasaran serangan udara terutamanya serangan dron sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP









