Ribociclib kurangkan risiko penghidap kanser dijangkiti semula 

Ribociclib kurangkan risiko penghidap kanser dijangkiti semula 

RIBOCICLIB mampu memberi hasil memberangsangkan kepada penghidap kanser payu dara yang berada pada fasa awal penyakit. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Beribu-ribu wanita yang menghidap kanser payu dara kini bakal mendapat manfaat daripada penemuan ubat baharu yang berupaya membantu golongan itu hidup lebih lama.

Malah, ubat baharu dihasilkan syarikat farmaseutikal, Novartis dikatakan mampu mengurangkan risiko penghidap dijangkiti semula kanser payu dara.

Lapor The Guardian, hasil penyelidikan dibentangkan pada mesyuarat tahunan Komuniti Klinikal Onkologi Amerika (ASCO) mencadangkan ubat baharu, ribociclib mampu menjadi game changer.

Keputusan ujian klinikal menunjukkan ia boleh meningkatkan peluang pesakit hidup lebih lama dan mengurangkan risiko dijangkiti semula kanser payu dara sebanyak satu perempat.

Dalam kajian tersebut, para penyelidik mendapati ubat terapi itu mampu memberi hasil memberangsangkan kepada penghidap kanser payu dara fasa awal penyakit termasuk pesakit kanser yang belum merebak ke nodus limfa.

Penemuan itu menggembirakan penyelidik dan pakar onkologi di mesyuarat tahunan ASCO kerana data menunjukkan ubat baharu yang turut dikenali sebagai Kisgali boleh menangani ancaman kanser daripada kembali semula dalam populasi dan mengubah rawatan global.

Ribociclib dikenali sebagai terapi sasaran molekul.

Ia berfungsi dengan menyasarkan protein dalam sel kanser payu dara dikenali sebagai CDK4 dan CDK6 yang mengawal pertumbuhan sel termasuk sel kanser.

Ujian klinikal peringkat akhir ubat itu menunjukkan ia berjaya mengurangkan risiko dijangkiti semula sebanyak 25 peratus apabila digunakan bersama terapi hormon biasa selepas rawatan tradisional. 

Terapi sasaran molekul itu sudah mendapat kelulusan agensi pengawal ubat-ubatan termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) bagi merawat kanser payu dara yang sudah merebak ke bahagian badan lain.

Ketika ini, standard rawatan bagi pesakit kanser payu dara adalah pembedahan diikuti kemoterapi atau radiasi sebelum pengambilan ubat sekat hormon bagi cuba menghentikan penyakit itu kembali semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN