Penduduk Hanoi serbu pusat beli-belah hilangkan rasa panas - Utusan Malaysia

Penduduk Hanoi serbu pusat beli-belah hilangkan rasa panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Peningkatan gelombang haba melampau ditambah dengan gangguan bekalan elektrik menyebabkan penduduk Hanoi berpusu-pusu ke pusat beli-belah berhawa dingin di ibu negara Vietnam pada hujung minggu.

Vietnam antara negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang mengalami rekod suhu harian tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketika suhu meningkat kepada 36 darjah Celsius, Bui Manh Duc Tai dan teman wanitanya adalah antara yang ‘melarikan diri’ daripada kehangatan di rumah dan sanggup menghabiskan masa di sebuah pusat beli-belah.

“Rumah kami terputus bekalan elektrik sejak pagi tadi. Kami datang ke sini untuk mendapatkan suhu yang lebih sejuk,” kata Tai.

Di sudut lain, pelajar, Nguyen Minh Thu duduk di atas lantai cuba menyelesaikan tugasan pada komputer ribanya.

“Saya terpaksa datang ke sini untuk mendapatkan kuasa elektrik supaya saya boleh belajar,” kata pelajar itu sambil menambah bekalan elektrik di rumahnya terputus sepanjang pagi.

Di pusat beli-belah lain yang penuh sesak di luar Hanoi, keluarga mempunyai anak kecil mencari perlindungan dalam suasana lebih selesa dengan penyaman udara.

“Saya sudah berada di sini bersama dua anak kecil saya sejak waktu makan tengah hari. Kanak-kanak boleh bermain, manakala saya boleh pergi membeli-belah. Kami akan pulang ke rumah selepas makan malam. Berharap bekalan elektrik sudah pulih ketika itu,” kata Do Thuy Dung.

Kemarau dan gelombang haba yang berpanjangan memberikan banyak tekanan untuk menampung bekalan kuasa di utara negara itu, menurut pembekal Vietnam Electricity.

Vietnam Electricity dalam kenyataannya berkata, purata penggunaan kuasa di Hanoi pada Mei meningkat lebih daripada 22.5 peratus berbanding April.

Bekalan elektrik turut diputuskan di hotel di pulau-pulau popular.

Pihak berkuasa juga sudah mematikan lampu jalan di beberapa bandar utama untuk menjimatkan kuasa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN