JAKARTA: Indonesia mengusulkan tiga deklarasi membanteras jenayah transnasional dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) kali ke-23, di sini kelmarin.
Setiausaha NCB Interpol Indonesia, Amur Chandra Juli Buana berkata, kesemua deklarasi itu diusulkan agar semua negara anggota ASEAN dapat bekerjasama membanteras jenayah transnasional.
Katanya, usul pertama melibatkan Deklarasi Labuan Bajo mengenai keutamaan proses penguatkuasaan undang-undang dalam membendung jenayah rentas negara.
“Deklarasi ini bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang yang sudah berlangsung selama ini, terutamanya dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, usul kedua yang dibentangkan adalah Deklarasi ASEAN yang melibatkan kerjasama dalam melindungi saksi dan mangsa jenayah rentas negara, termasuk keganasan,
Menurut Amur, deklarasi itu penting bagi memastikan saksi dan mangsa memperoleh perlindungan serta keselamatan yang adil.
Deklarasi terakhir yang diusulkan melibatkan sistem amaran awal dan tindak balas awal ASEAN dalam pencegahan keganasan.
“Kerjasama konkrit memerlukan pertukaran maklumat dan kesediaan pihak berkaitan bagi memastikan langkah pencegahan yang dilaksanakan berkesan,” ujar Amur.
Selain Indonesia, Kemboja turut mengusulkan deklarasi mengenai pemerdangan senjata.