Negara jimat hingga RM4 bilion hasil rasionalisasi subsidi RON95

Negara jimat hingga RM4 bilion hasil rasionalisasi subsidi RON95

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 bermula September lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, unjuran penjimatan itu dibuat berdasarkan data penggunaan domestik serta andaian kira-kira 20 peratus daripada jumlah penggunaan RON95 ketika ini membabitkan pengguna yang tidak layak menerima subsidi.

Katanya, julat penjimatan ini mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara AS$60 hingga AS$80 setong serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen tidak disasarkan seperti warga asing dan pengguna komersial.

“Pendekatan penyasaran subsidi memberi kelebihan kerana tidak menyebabkan peningkatan kadar inflasi mendadak berbanding menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran untuk semua pengguna. Melalui pendekatan ini, kadar inflasi dijangka kekal di bawah dua peratus untuk 2025 dan 2026.

“Penyasaran subsidi juga membantu menampung perbezaan tahap penggunaan RON95 dalam kalangan rakyat, antaranya disebabkan jarak berbeza antara tempat tinggal dan tempat bekerja,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai anggaran penjimatan kos sistem dan perbelanjaan tahunan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95, menerusi jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa komited mengamalkan pendekatan fiskal berhemah dan bertanggungjawab serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi bukan langkah yang akan menambah hutang negara.

Sebaliknya, beliau berkata, langkah berkenaan merupakan strategi penting untuk mengurangkan liabiliti jangka panjang, menstabilkan kedudukan fiskal negara serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.

“Penjimatan melalui penyasaran subsidi ini akan dimanfaatkan bagi kesejahteraan rakyat serta pembiayaan pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.

“Penyusunan semula subsidi RON95 adalah antara inisiatif kerajaan membantu meringankan beban rakyat, selain meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan agihan sumber kewangan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN